Sejarah Awal Kesultanan Melayu Melaka & Kisah Parameswara
Melaka tidak tercipta dalam tempoh semalam. Kota pelabuhan yang pernah menguasai laluan perdagangan dunia ini lahir daripada perjalanan panjang seorang putera bernama Parameswara. Diusir dari tanah asalnya, beliau mengembara merentasi laut, menakluk, & berundur, sebelum menemukan sebuah tempat strategik di tepi Selat Melaka. Dari sinilah bermula kisah kebangkitan sebuah kerajaan yang kelak dikenali sebagai Kesultanan Melayu Melaka; pusat kuasa, budaya, & perdagangan yang disegani di seluruh Nusantara.
Inilah kisah lengkap asal usul Kesultanan Melayu Melaka, titik mula kegemilangan sejarah bangsa yang masih dibanggakan hingga kini.
Kedudukan Strategik Melaka
Selat Melaka ialah laluan perdagangan maritim terpenting di dunia, menghubungkan India, China, dan dunia Arab. Kawasannya bukan sahaja kaya dengan hasil bumi, malah mempunyai perlindungan semula jadi yang memudahkan pertahanan. Kedudukan Melaka di tengah-tengah laluan antarabangsa ini menjadikannya lokasi idaman untuk dijadikan pelabuhan entrepot, pusat persinggahan pedagang dari seluruh pelosok dunia.
Keadaan ekologi dan bentuk muka buminya yang terlindung menjadikan Melaka sebuah benteng semula jadi. Pusat pentadbiran di Hulu Melaka memberi ruang kepada pemerintah untuk berundur dan menyusun strategi jika diserang.
Parameswara: Dari Putera Sriwijaya ke Pengasas Melaka
Parameswara (1344–1414) ialah seorang putera dari Keraton Sriwijaya yang dikenali kerana karismanya dan sokongan setia daripada para pembesar serta golongan Orang Laut. Sebagai pewaris kepada sebuah empayar maritim agung yang merosot akibat kekalahan kepada Majapahit, beliau bertekad untuk mengembalikan kegemilangan warisan nenek moyangnya.
Namun, siri penentangan terhadap Majapahit tidak membuahkan hasil. Keadaan itu memaksa Parameswara meninggalkan tanah asalnya dan memulakan pengembaraan panjang untuk mencari lokasi strategik yang mampu dijadikan pusat pemerintahan baharu.
Pengembaraan dari Temasek ke Melaka
Catatan Tome Pires merekodkan bahawa Parameswara berlayar ke Temasek (Singapura kini) & menyingkirkan gabenor Siam, Temagi, sebelum mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah. Namun, tindakan itu mengundang ancaman balas dari kerajaan Siam, memaksanya sekali lagi berundur.
Versi lain melalui Sulalatus Salatin menyebut Parameswara, yang juga dikenali sebagai Iskandar Syah; pernah memerintah Temasek sebelum ia jatuh ke tangan Majapahit akibat pengkhianatan seorang pembesar bernama Rajuna Tapa. Kekalahan itu memaksa beliau berundur ke Muar, sebelum akhirnya menetap di kawasan strategik yang kelak dikenali sebagai Melaka.
Legenda Pelanduk Putih
Dalam perjalanan memburu, Parameswara berhenti berehat di bawah sepohon pokok Melaka. Dari situ, beliau menyaksikan seekor pelanduk putih menendang anjing buruan hingga terjatuh ke sungai. Keberanian haiwan kecil itu melawan musuh yang jauh lebih besar membuatkan Parameswara kagum.
Terinspirasi oleh peristiwa tersebut, beliau menamakan kawasan itu Melaka, sempena pokok tempat beliau berteduh. Kisah ini menjadi simbol kekuatan dan keberanian yang kelak menjadi asas kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
Melaka Sebagai Pusat Perdagangan Antarabangsa
Setelah menetap, Parameswara mengembangkan Melaka menjadi pusat perdagangan antarabangsa. Bahasa Melayu diangkat sebagai lingua franca, memudahkan komunikasi pedagang dari pelbagai bangsa.
Kejayaan ini semakin kukuh apabila Melaka menjalin hubungan diplomatik dengan China. Pada tahun 1405, utusan China, Ying Chin, tiba di Melaka bagi memperkukuh hubungan dagang. Pengiktirafan “de jure” daripada China mengesahkan status Melaka sebagai negeri bebas dan berdaulat, sekali gus meningkatkan pengaruhnya sebagai kuasa maritim terbesar di rantau ini.
Baca Juga: Cik Siti Wan Kembang: Siapa Baginda Sebenarnya dalam Sejarah Melayu Kelantan?
Dari seorang putera pelarian, Parameswara berjaya membina sebuah kerajaan yang menguasai laluan perdagangan terpenting dunia. Kedudukan strategik, kepimpinan bijak, dan hubungan diplomatik pintar menjadikan Melaka pusat ekonomi, politik, dan budaya di Asia Tenggara pada zamannya.
Sejarah Kesultanan Melayu Melaka ini membuktikan bahawa visi besar dan keberanian mampu mengubah sebuah lokasi kecil menjadi empayar yang disegani di seluruh dunia.
Kalau korang suka artikel sejarah macam ni, jangan lupa follow Projek Travel di media sosial untuk lebih banyak kisah menarik tentang sejarah, budaya, dan destinasi pelancongan. Simpan & kongsikan artikel ini supaya lebih ramai tahu kisah hebat Kesultanan Melayu Melaka.
			
			
			
One thought on “Sejarah Awal Kesultanan Melayu Melaka & Kisah Parameswara”