Dalam sejarah Kelantan dan dunia Melayu, nama Cik Siti Wan Kembang sering disebut sebagai ratu berkuasa dan simbol keberanian wanita. Namun, ramai tidak tahu bahawa ratu ini sebenarnya memiliki nama rasmi yang jarang didengar masyarakat umum — Puteri Adruja Wijayamala Singa.
Nama Adruja berasal dari perkataan Sanskrit aadhi raja, bermaksud raja agung atau pemimpin pasukan perang, manakala “Wijayamala” bermaksud bunga seroja sakti, & “Singa” melambangkan keberanian. Walaupun gelaran “Cik Siti Wan Kembang” lebih terkenal, nama Adruja penting kerana mengangkat legasi baginda sebagai wanita Melayu pertama memimpin pasukan tempur & menang di medan perang.
Artikel ini akan mengupas sejarah Adruja Wijayamala Singa, dari asal-usulnya di Grahi hingga pengurniaan gelaran Cik Siti Wan Kembang yang diwarisi raja-raja perempuan Kelantan.
Kehidupan Awal & Asal-Usul
Puteri Adruja Wijayamala Singa dipercayai lahir sekitar akhir abad ke-13 hingga awal abad ke-14 (± tahun 1290–1300 M), di Grahi, sebuah kota persekutuan Melayu yang terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu. Pada zaman itu, Grahi berada di bawah pemerintahan Raja Sang Tawal (juga dikenali sebagai Sultan Muhammad), maharaja ketiga Grahi.

Zaman ini penting kerana Semenanjung Tanah Melayu sedang berhadapan dengan perluasan kuasa kerajaan Sukhothai dari utara (Thailand moden), di bawah Raja Rama Khamhaeng. Ancaman ini menyebabkan Raja Sang Tawal mengarahkan pembinaan kota yang lebih kuat, iaitu Kota Grahi, sebagai benteng pertahanan utama.
Sejak remaja, Adruja sudah membiasakan diri turun ke medan perang bersama ayahanda. Baginda memikul tanggungjawab pembawa bendera kerajaan, menyaksikan sendiri keperitan pertempuran, semangat juang rakyat, dan keperluan mempertahankan negeri daripada ancaman luar. Pengalaman awal inilah yang membentuk dirinya sebagai seorang pemimpin wanita luar biasa — menggabungkan keberanian, ketangkasan, dan kecerdikan strategi.
Kijang Emas Simbol Peribadi
Salah satu elemen penting yang sering dikaitkan dengan Adruja ialah simbol kijang. Menurut catatan sejarah lisan & sebahagian manuskrip lama, Adruja memelihara seekor kijang yang diberikan oleh pedagang Arab, yang menjadi kesayangan baginda. Menariknya, jenis kijang yang disebut dalam sejarah ini dikenali sebagai kijang emas – bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi dilihat sebagai simbol kecantikan, ketangkasan, keberanian, yang kemudiannya diangkat sebagai lambang pemerintahan negeri.

Lambang kijang diabadikan pada syiling emas pemerintahannya. Lambang kijang ini juga kekal sebagai ikon penting dalam jata negeri Kelantan sehingga kini – iwarisi sebagai tanda kebesaran dan identiti negeri yang berakar dalam sejarah panjang pemerintahan wanita agung ini.
Penubuhan Pasukan Seri Wijayamala
Melihat pasukan Grahi mula gentar, Adruja mengambil langkah luar biasa dengan menubuhkan pasukan khas Seri Wijayamala, terdiri daripada wanita, khususnya janda yang kehilangan suami di medan perang.

Pasukan ini bukan sahaja berperanan membela nasib kaum wanita yang sering menjadi mangsa kekejaman tentera Sukhothai di kampung-kampung, tetapi juga menjadi bukti bahawa wanita mampu berdiri sama gagah dengan lelaki di medan tempur. Adruja bijak memanfaatkan kekuatan psikologi wanita yang kehilangan insan tersayang, yang lahir daripadanya semangat juang luar biasa.
Tidak lama kemudian, pasukan wanita ini dilatih berkuda, bersenjata, dan berperang hingga setara kemahiran dengan tentera lelaki.
Kejayaan di Medan Perang
Pada kemuncak peperangan 1317 M, ketika Kota Grahi hampir tumbang, pasukan wanita pimpinan Adruja melancarkan serangan mengejut yang memporak-perandakan musuh. Keberanian Adruja mencapai kemuncaknya apabila baginda sendiri berjaya memenggal kepala Raja Sukhothai, menamatkan peperangan dengan kemenangan memihak kepada Grahi.
Kejayaan ini dibantu panglima wanita setianya, seperti Sundari, Cempaka, Melati, dan Seroja, pelopor pasukan tentera wanita di rantau ini. Seluruh tentera Sukhothai yang tersisa dihukum pancung, menjadikan peristiwa ini salah satu kemenangan terbesar dalam sejarah pertahanan Grahi.
Gelaran Cik Siti Wan Kembang
Sebagai tanda penghormatan, Raja Sang Tawal menghadiahkan Adruja sebuah wilayah di Kisaran Payung, iaitu kawasan yang kini dikenali sebagai Kelantan. Dalam tempoh singkat, di bawah pemerintahan Adruja, negeri tersebut berkembang menjadi sebuah wilayah makmur dan indah.
Rakyat tempatan menganugerahkan baginda gelaran “Cik Siti Wan Kembang”, satu gelaran rasmi yang kemudiannya diwarisi oleh semua raja perempuan yang memerintah negeri Kelantan. Adruja dipercayai merupakan penerima pertama gelaran ini.
Kelantan di bawah pemerintahannya menjadi pusat tumpuan, termasuk menerima kunjungan Ibnu Battuta pada tahun 1345 M. Menurut catatan, pemerintah Kelantan ketika itu ialah ratu Muslim yang jelitanya setanding puteri Turki dan fasih bertutur dalam bahasa Turki.
Mengapa Ada Dua Zaman?
Dalam kajian sejarah, timbul persoalan: mengapa wujud cerita bahawa Cik Siti Wan Kembang wujud pada dua zaman berbeza? Ada pandangan, nama Cik Siti Wan Kembang bukan merujuk kepada seorang individu semata-mata, tetapi merupakan gelaran diraja yang diwarisi oleh beberapa pemerintah wanita dalam tempoh yang berlainan.
Seorang Cik Siti Wan Kembang dipercayai memerintah abad ke-14 (Adruja), manakala seorang lagi dalam legenda rakyat memerintah abad ke-17, selepas era Kesultanan Melaka. Kekeliruan ini berpunca daripada keterbatasan catatan sejarah bertulis dan kuatnya tradisi lisan yang menyebabkan narasi beberapa tokoh bercampur aduk.
Apa pun hakikatnya, baik Adruja Wijayamala Singa mahupun Cik Siti Wan Kembang abad ke-17, kedua-duanya kekal sebagai simbol kekuatan, keberanian, & kebijaksanaan wanita Melayu.
Legasi yang Hidup Hingga Kini
Hingga hari ini, nama Cik Siti Wan Kembang terus hidup dalam jiwa rakyat Kelantan. Gunung, tasik, seni, dan budaya negeri ini tetap memanggil namanya sebagai lambang keberanian wanita mempertahankan tanah air.
Beliau bukan sekadar seorang ratu. Baginda ialah lambang semangat perjuangan bangsa Melayu. Sebagai wanita, baginda berdiri megah dalam sejarah, memperkukuh bangsanya, dan mencipta nama dalam lipatan zaman.
Artikel Berkaitan : Puteri-Puteri Lagenda Malaysia | Antara Sejarah & Mitos
Ingin membaca lebih banyak artikel sejarah, legenda Melayu, dan kisah tokoh-tokoh Nusantara? Ikuti Projek Travel di media sosial untuk artikel mendalam, panduan budaya, dan warisan tempatan. Jangan lupa simpan dan kongsikan artikel ini bersama rakan-rakan sebagai penghargaan kepada warisan sejarah bangsa!
Penafian :
Semua imej dalam artikel ini dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) semata-mata untuk tujuan visualisasi individu yang dipercayai wujud dalam sejarah. Imej-imej ini adalah hak cipta eksklusif dan dilarang digunakan, disalin, atau diedarkan tanpa kebenaran bertulis daripada pihak Projek Travel.
Selain itu, sebarang penyalinan 100% atau penerbitan semula kandungan tanpa kebenaran bertulis adalah dilarang sama sekali.
3 thoughts on “Cik Siti Wan Kembang: Siapa Baginda Sebenarnya dalam Sejarah Melayu Kelantan?”