Senarai 5 Tempat Pelancongan Kesenian Menarik Di Kelantan

Senarai 5 Tempat Pelancongan Kesenian Menarik Di Kelantan
Kongsi Artikel ini

Tempat Pelancongan Kesenian Menarik Di Kelantan. Tahukah kalian bahawa negeri Kelantan juga dikenali sebagai Gedung Budaya? Apa hebatnya negeri ini dan kenapa agaknya Kelantan digelar sebagai Gedung Budaya?

Kelantan mempunyai beberapa warisan hebat yang unik dan tiada di negeri lain. Antaranya ialah dikir barat, main puteri, wayang kulit, mak yong, dikir laba, rebana mangkuk, dan tarian wau bulan. Malah, buku ‘Kelantan Gedung Budaya Negara’ oleh Anuar Musa & Nasirin Abdillah (2018) turut mengangkat keistimewaan ini.

Kelantan sememangnya terkenal dengan kekayaan seni tradisi dan budaya Melayu lama. Ia menjadi identiti serta kebanggaan bangsa Melayu hingga ke seluruh dunia. Memelihara warisan bukan tugas mudah, tetapi jika rakyat bersatu dan menghargai sejarah, ia boleh terus dipertahankan sebelum hilang ditelan zaman.

Cadangan Tempat Pelancongan Kesenian Di Kelantan

Bagi kalian yang ingin mengenali lebih dekat budaya dan warisan yang ada di sini, min cadangkan untuk korang lawati tempat-tempat yang min senaraikan di bawah ni :

Gelanggang Seni

Gelanggang Seni, terletak di Jalan Sultan Mahmud iaitu kira-kira 2 km dari pusat bandar Kota Bharu. Ianya menjadi sebuah lokasi pusat dimana sentiasa menjadi daya tarikan kepada para pelancong dan kepada anak-anak Kelantan yang cintakan seni warisan bangsa untuk berkampung dan mempersembahkan persembahan masing-masing.

Antara persembahan yang masih digemari dan kerap diadakan disini ialah seperti wayang kulit, dikir barat, rebana ubi, permainan gasing, seni silat tari, dan wau bulan.

Persembahan kebudayaan akan diadakan pada:

  • Hari : Isnin , Rabu & Sabtu
  • Masa : 3.00 petang – 5.30 petang

Galeri Wayang Kulit Pak Daim

Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan (‘Kelantan Traditional Malay Shadowplay Gallery’) terletak di Simpang Tiga Morak, Palekbang dalam Jajahan Tumpat. Selain sebagai tempat persembahan wayang kulit dan pameran, galeri yang mirip seakan muzium mini ini ada menyediakan bengkel bagi mereka yang berminat untuk belajar dan membuat wayang kulit sendiri.

Galeri Wau Pak Sapie & Wan Anuar

Dibuka sejak tahun 1980-an, galeri ini cukup terkenal bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara. Kini, ia diambil alih oleh legasi keluarga, iaitu Wan Anuar, anak bongsu kepada pembuat wau terkemuka, arwah Pak Sapie. Di galeri ni, pengunjung yang berminat boleh membeli wau yang diingini dengan harga serendah RM100. Selain itu, galeri ini juga turut mempamerkan pelbagai koleksi wau dari zaman Pak Sapie lagi sehingga sekarang.

Pelbagai jenis koleksi wau yang ada disini seperti wau bulan, wau puyuh, wau jala budi, wau kucing, wau sobek dan banyak lagi. Galeri ini terletak di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan.

Balai Seni Lukis Kelantan

Balai Seni Lukis Kelantan terletak di bangunan bersebelahan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) di Jalan Sultan Ibrahim dan diuruselia oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan. Struktur bangunan Balai Seni Lukis Kelantan ini mempunyai dua tingkat. Tingkat bawah digunakan untuk pameran koleksi di mana sebanyak 73 buah lukisan dipamerkan. Manakala di tingkat atas dijadikan satu ruang untuk Persatuan Seni Lukis Kelantan (PESENI) mempamerkan hasil karya mereka.

Selain itu, ruangan ini juga akan digunakan untuk pameran berkala serta aktiviti-aktiviti lain seperti bengkel lukisan dan pertandingan melukis yang dianjurkan oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

Kota Bharu 3D Art & Heritage Centre

Terletak di Tingkat 1, Bazar Tengku Anis. Pusat ini merupakan galeri seni berkonsepkan lukisan tiga dimensi (3D) yang terbesar di Pantai Timur. Dengan keluasan 12,000 kaki persegi dan 45 galeri, ia menawarkan pelbagai kemudahan seperti parkir, kaunter tiket, dan galeri jualan. Dibuka setiap hari dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Tiket berharga RM7 untuk kanak-kanak dan pelajar, RM15 untuk dewasa.

Artikel Berkaitan : Istana Jahar; Muzium Adat Istiadat Diraja Negeri Kelantan

Semoga senarai 5 tempat menarik edisi Kesenian di Kelantan seperti di atas memberi kalian inspirasi & kemudahan untuk merancang percutian di Negeri Che Siti Wan Kembang pada masa akan datang. Sila kongsi di sosial media kalian untuk manfaat bersama. Selamat cuti-cuti Malaysia di Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *