Tips Terbaik Untuk Beli Emas di Malaysia. Dalam dunia kewangan moden, emas kekal sebagai aset pelaburan yang digemari ramai di Malaysia. Bukan saja kerana kilauannya yang memukau, tapi juga keupayaannya untuk mengekalkan nilai jangka panjang. Tak kira zaman ekonomi gawat atau nilai ringgit yang susut, emas sentiasa dianggap sebagai “penyelamat” kewangan.
Sama ada korang minat simpan jongkong emas, beli barang kemas 916, atau sekadar nak tahu beza timbang lama vs gram, artikel ni akan bantu korang faham lebih mendalam tentang logam berharga ini. Jom kita bongkar dunia emas dari A sampai Z!
Apa Itu Emas?
Emas adalah logam berharga berwarna kuning berkilat, sangat tahan karat dan mudah ditempa. Ia digunakan bukan sahaja untuk perhiasan, tapi juga sebagai pelaburan, dalam industri elektronik, perubatan dan banyak lagi. Di Malaysia, emas paling popular dijadikan barang kemas, jongkong, dan syiling dinar.
Kenapa Emas Jadi Pilihan Ramai?
Ramai memilih emas sebagai simpanan kerana ia kalis inflasi, mudah dijual dan boleh dijadikan pelindung kewangan jangka panjang. Sifatnya yang stabil menjadikan emas aset kegemaran ketika ekonomi tidak menentu.
Selain itu, emas juga:
- Mudah dicairkan – Berbanding aset lain seperti hartanah atau saham, emas lebih mudah dijual pada bila-bila masa, sama ada di kedai emas, pajak gadai, atau secara dalam talian.
- Tidak luput nilai – Walaupun ekonomi jatuh, nilai emas biasanya kekal atau meningkat. Ini sebab utama kenapa ramai yang beli emas sebagai pelaburan jangka panjang.
- Tiada tarikh luput atau susut fizikal – Berbeza dengan wang kertas atau barangan lain, emas tak akan rosak, reput atau tamat tempoh.
- Simpanan yang selamat untuk masa depan – Ramai ibu bapa mula menyimpan emas untuk pendidikan anak-anak atau sebagai ‘backup’ kewangan jika berlaku kecemasan.
- Boleh diguna pakai sebagai aksesori – Barang kemas seperti gelang, rantai dan cincin bukan sahaja cantik dipakai, malah ada nilai tersendiri.
Simpanan Emas: Pelaburan Jangka Panjang yang Menguntungkan
Salah satu perkara penting yang perlu korang fahami mengenai simpanan emas adalah turun naik nilai emas yang boleh berlaku dalam tempoh pendek. Walaupun harga emas boleh mengalami perubahan secara mendadak dalam jangka masa singkat, tetapi jika dilihat dalam jangka panjang, nilai emas cenderung untuk meningkat secara stabil. Ini menjadikan emas sebagai pilihan pelaburan yang berpotensi memberi pulangan yang lebih tinggi kepada simpanan anda dari masa ke masa.

Harga Emas Semasa: Kenapa Ia Turun Naik?
Apa Harga Emas Hari Ini? Harga emas berubah setiap hari berdasarkan pasaran global. Faktor seperti inflasi, kadar faedah, permintaan dan kestabilan ekonomi dunia mempengaruhi nilai semasa emas.
Jadi, tak kira sama ada anda nak simpan sebagai hobi, pelaburan, atau hadiah, emas sentiasa jadi pilihan yang relevan dan bijak.
Jenis-Jenis Emas yang Popular
Di pasaran Malaysia, terdapat pelbagai jenis emas yang ditawarkan. Setiap jenis mempunyai kadar ketulenan, harga dan kegunaan yang berbeza, bergantung kepada keperluan pembeli.
- Emas 999 (24K)
Emas paling tulen yang terdiri daripada 99.9% kandungan emas. Selalunya dijual dalam bentuk jongkong atau dinar. - Emas 916 (22K)
Pilihan utama untuk barang kemas. Gabungan antara ketulenan dan ketahanan menjadikannya sesuai untuk dipakai setiap hari. - Emas 875 / 835 / 750
Emas jenis ini mengandungi kandungan emas yang lebih rendah. Biasanya digunakan untuk rekaan kemas yang lebih kompleks atau bajet.
Cara Ukur Ketulinan Emas
Ketulinan emas diukur menggunakan sistem karat (gold karat), yang menentukan seberapa banyak bahagian emas dalam keseluruhan 24 bahagian. Sistem ini memudahkan kita untuk mengetahui kandungan emas sebenar dalam sebarang barang kemas.
Untuk lebih faham, mari kita ambil contoh mudah. Katakan anda memiliki rantai emas seberat 20 gram. Jika keseluruhan 20 gram tersebut adalah emas tulen (tanpa campuran logam lain), maka ketulenan rantai tersebut adalah 24 karat.
Namun, jika rantai tersebut mengandungi 15 gram emas dan 5 gram logam lain, ketulenannya adalah 15 karat. Ini kerana 15 bahagian daripada 24 adalah emas tulen, dan selebihnya terdiri daripada logam lain. Logam tambahan ini biasanya digunakan untuk meningkatkan ketahanan atau kekerasan emas tersebut, kerana emas tulen (24 karat) agak lembut dan mudah tercalar.
Sistem Timbangan Emas di Kelantan
Di Kelantan, sistem jual beli emas mempunyai sedikit kelainan berbanding tempat lain di Malaysia. Ramai pembeli emas di sini masih menggunakan sistem timbangan lama yang disebut “serial berat”. Sistem ini berbeza dari kebiasaan tempat lain di Malaysia yang menggunakan gram sebagai unit utama.
Serial Berat vs Gram
Sistem serial berat merujuk kepada unit timbangan tradisional yang tidak menggunakan gram secara langsung. Kedai emas khususnya di Kelantan mereka lebih biasa menggunakan ukuran rial untuk menentukan harga emas semasa. Jadi, jangan terkejut atau pelik jika korang pergi ke kedai emas di Kelantan kalau tiba-tiba harga tinggi lebih 2 x ganda. Untuk tidak mengelirukan korang, jom kita study tentang rial berat ni.
Contoh Kiraan:
Serial berat = 2.72gram
Contoh harga emas harini = RM224/gram
Serial berat = Rm224 x 2.72 = RM609.28
Jangan terkejut bila anda ke kelantan dan bertanya berapa harga emas harini, tuan kedai menjawab RM609.28. Hari RM609.28 itu bukan untuk segram emas, tetapi ianya adalah untuk 2.72gram atau bersamaan dengan serial berat.
Walaupun begitu, penting untuk pembeli faham perbezaan di antara sistem timbangan serial berat dan gram kerana ia boleh mempengaruhi harga sebenar emas yang dibeli. Kadangkala, harga yang dinyatakan dalam serial perlu ditukarkan kepada gram untuk tujuan perbandingan harga dengan kedai lain.
Bila membeli emas di Kelantan:
- Pastikan korang tahu berat sebenar dalam gram.
- Semak harga semasa per gram untuk elak terbeli dengan harga lebih tinggi.
- Minta penjual nyatakan dengan jelas dalam resit berat dan harga per gram.
- Pemahaman ini sangat penting terutamanya bagi pembeli luar Kelantan yang tidak biasa dengan sistem serial.
Tips Beli Emas Supaya Tak Rugi
Nak beli emas tak semestinya perlu tunggu kaya. Asalkan kita tahu strategi yang betul, semua orang boleh mula menyimpan emas dengan selamat dan menguntungkan. Berikut merupakan beberapa tips beli emas yang korang boleh take note:
- Beli ikut kemampuan – Tak perlu tunggu kaya, beli sikit-sikit pun dah okay
- Utamakan emas fizikal – Elak dari skim pelaburan meragukan
- Semak spread (susut nilai) – Lagi rendah spread, lagi untung bila nak jual
- Simpan resit pembelian – Penting untuk urusan gadai atau jual balik
- Bandingkan harga antara kedai – Jangan terus beli dari satu tempat je
Emas Sebagai Hadiah & Simpanan Masa Depan
Selain dari pelaburan, emas juga simbol kasih sayang dan penghargaan. Ramai yang hadiahkan emas sempena majlis kahwin, tunang, aqiqah, atau sebagai simpanan untuk masa depan anak-anak.
Kesimpulannya, tak kisahlah korang beli untuk melabur, menyimpan atau sebagai perhiasan, emas tetap antara pilihan terbaik untuk jangka panjang. Tapi paling penting, kenali apa yang korang beli, faham jenis emas, harga semasa dan kedai yang dipercayai. Dengan adanya tips beli emas yang kami dah kongsi ni, boleh lah korang belajar serba sedikit sebelum membuat pelaburan emas.
Kongsi artikel ni dengan kawan-kawan yang tengah plan nak beli emas. Simpan dulu untuk rujukan bila harga emas turun nanti!