Dah masuk bulan Syawal, selain sibuk dengan rumah terbuka dan peraga baju raya cantik, satu perkara yang tak boleh kita lupa ialah qada puasa Ramadhan. Sama ada korang tak sempat puasa sebab uzur syarie, musafir, atau sebab-sebab tertentu — korang tetap wajib ganti puasa ramadan tu sebelum tiba Ramadhan seterusnya.
Ramai orang tertanya-tanya: “Macam mana niat qada puasa Ramadhan yang betul?”, “Perlu niat setiap malam ke?“, dan “Apa lafaz niat ganti puasa dalam Bahasa Melayu dan Arab?”
Kalau korang pun tengah cari jawapan tu, korang berada di tempat yang tepat! Dalam artikel ni, kita akan bincang dengan ringkas dan padat mengenai cara ganti puasa dengan betul, niat qada puasa, dan beberapa perkara penting yang wajib korang tahu supaya ibadah korang diterima.
Qada Puasa Ramadhan
Apa Itu Qada Puasa Ramadhan?
Puasa ganti, atau lebih dikenali dalam bahasa Arab sebagai qadha’, merujuk kepada puasa yang dilakukan sebagai pengganti bagi hari-hari yang ditinggalkan semasa bulan Ramadhan.
Istilah qadha’ membawa maksud “menunaikan sesuatu yang terhutang.” Dalam konteks puasa Ramadan, ia merujuk kepada kewajipan seseorang Muslim untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan atas sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak.
Oleh itu, puasa ganti bertujuan untuk menunaikan tanggungjawab tersebut agar hutang ibadah dapat diselesaikan dengan sempurna.
Lafaz Niat Puasa Ganti Qada Ramadhan
Dalam ibadah puasa ganti Ramadhan atau qada puasa, niat memainkan peranan yang sangat penting. Walaupun secara asasnya niat itu terletak dalam hati, ulama dalam Mazhab Syafie menggalakkan kita untuk melafazkan niat secara lisan. Tujuannya adalah untuk memantapkan apa yang kita niatkan dalam hati agar lebih jelas dan tidak ragu-ragu.
Lafaz niat puasa ganti biasanya diucapkan pada malam hari sebelum subuh, dan ia boleh dilafazkan seperti berikut:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu Sauma Ghadin ‘An Qodoo’in Fardhi Ramadhona Lillahi Ta’ala
Sahaja aku niat puasa esok hari kerana mengganti fardu ramadan kerana Allah Taala.
Penjelasan Lafaz Niat Puasa Ganti
Setiap perkataan dalam lafaz niat ini mempunyai makna yang penting dan memberikan fokus kepada tujuan sebenar ibadah puasa ganti:
“نَوَيْتُ” (Nawaitu): Bermaksud “Aku berniat.” Lafaz ini menekankan bahawa perbuatan berpuasa adalah satu keputusan dan tekad dalam hati.
“صَوْمَ” (Sauma): Bermaksud “puasa.” Ini adalah bentuk perbuatan yang diniatkan, iaitu menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.
“غَدٍ” (Ghadin): Bermaksud “esok hari.” Ini menandakan hari tertentu untuk berpuasa, kerana niat untuk puasa wajib seperti puasa ganti perlu dilakukan setiap malam sebelum hari berpuasa.
“عَنْ قَضَاءِ” (An Qadha’): Bermaksud “sebagai ganti.” Ini menunjukkan bahawa puasa ini adalah puasa qadha yang dilakukan sebagai ganti puasa Ramadan yang tertinggal.
“فَرْضِ رَمَضَانَ” (Fardhi Ramadan): Bermaksud “puasa fardu Ramadan.” Frasa ini merujuk kepada puasa yang wajib dilakukan pada bulan Ramadan yang tidak dapat dilaksanakan dan perlu diganti.
“لِلّهِ تَعَالَى” (Lillahi Ta’ala): Bermaksud “kerana Allah Ta’ala.” Frasa ini menekankan keikhlasan bahawa puasa tersebut dilakukan semata-mata untuk Allah SWT, bukan untuk tujuan lain.
Dengan memahami makna lafaz niat ini, seseorang Muslim dapat menanamkan keikhlasan dalam hati bahawa puasa yang dilakukan adalah satu tanggungjawab terhadap Allah SWT.
Imam al-Nawawi dalam kitabnya menyebutkan bahawa niat adalah “menetapkan hati untuk melakukan sesuatu dan menghampirkan diri kepada Allah.” Dalam konteks puasa ganti, niat ini berfungsi untuk membezakan puasa wajib (qadha) dengan puasa sunat, dan ia menjadi asas yang penting untuk memastikan ibadah puasa tersebut sah.
Bila Waktu Niat Puasa Ganti yang Betul?
Ramai yang tertanya-tanya, bila sebenarnya waktu niat puasa ganti yang sah? Untuk pengetahuan korang, bagi puasa wajib seperti puasa ganti Ramadhan (atau qadha puasa), niat perlu dilakukan pada waktu malam sebelum masuk subuh.
Ini bermakna, korang perlu berniat antara waktu maghrib hingga sebelum azan Subuh pada hari yang korang nak berpuasa. Niat ni boleh dibuat dalam hati, tapi disunatkan juga untuk lafazkan secara lisan supaya lebih jelas dan yakin.
Ketetapan ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hafsah RA, di mana Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Barang siapa yang tidak berniat puasa pada malam hari sebelum fajar, maka tiada puasa baginya.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud & Tirmizi)
Hadis ini menjadi asas dalam Mazhab Syafie yang mewajibkan niat dibuat pada malam sebelum subuh untuk puasa-puasa wajib seperti puasa ganti Ramadhan. Ini menunjukkan betapa pentingnya niat sebagai tanda komitmen untuk beribadah.
Kalau Terlupa Niat Sebelum Subuh?
Jika korang terlupa berniat puasa ganti sebelum Subuh dan baru teringat selepas azan, puasa tersebut tidak sah menurut Mazhab Syafie. Ini kerana niat puasa wajib mesti dibuat sebelum fajar, bukan selepas.
Dalam situasi ini, korang perlu pilih hari lain dan pastikan niat dibuat pada malam sebelumnya untuk menggantikan puasa yang tidak sah itu. Jadi, untuk elakkan terlepas, eloklah biasakan diri berniat sejurus selepas waktu Maghrib.
Siapa Wajib Ganti Puasa Ramadan?
Dalam bulan Ramadan, bukan semua orang mampu berpuasa disebabkan keadaan tertentu. Tapi jangan risau, Islam itu mudah dan penuh rahmat. Mereka yang tidak dapat berpuasa atas sebab yang sah wajib menggantikan (qadha) puasa itu sebelum tiba Ramadan seterusnya.kutnya.
Berikut adalah golongan yang wajib ganti puasa Ramadan:
- Orang Sakit
Jika korang jatuh sakit dalam bulan Ramadan dan tidak mampu berpuasa, korang wajib ganti puasa tersebut selepas sembuh. Ini termasuk mereka yang mengalami sakit sementara dan masih berpeluang sihat semula. - Musafir
Orang yang dalam perjalanan jauh yang memenuhi syarat musafir dalam Islam dan tidak berpuasa sepanjang perjalanan, wajib mengganti puasa selepas kembali ke tempat asal dan keadaan kembali stabil. - Wanita Haid dan Nifas
Wanita yang datang haid atau dalam tempoh nifas tidak dibenarkan berpuasa. Maka, puasa yang terlepas itu perlu diganti selepas mereka suci. - Ibu Hamil dan Menyusu
Wanita hamil atau menyusukan anak yang bimbang kesihatan diri atau bayi mereka akan terjejas jika berpuasa, dibenarkan untuk tidak berpuasa. Namun, mereka tetap perlu qadha puasa Ramadan ini apabila keadaan sudah mengizinkan. - Mereka yang Sengaja Membatalkan Puasa
Sesiapa yang sengaja batal puasa tanpa sebab syarie — seperti makan, minum, atau melakukan hubungan intim — perlu ganti semula puasa tersebut. Jangan ambil ringan ya, sebab ini termasuk dalam kategori berdosa.
Bagaimana Kalau Langsung Tak Mampu Puasa?
Bagi golongan yang langsung tak mampu berpuasa, seperti warga emas atau pesakit kronik, mereka tidak wajib qadha. Namun, mereka tetap wajib membayar fidyah.
Apa Itu Fidyah?
Fidyah ialah bayaran berupa makanan (atau nilai makanan) kepada orang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Hukumnya wajib dan perlu diselesaikan mengikut bilangan hari puasa yang tidak dapat ditunaikan.
Artikel Berkaitan : Hukum Drip Ketika Puasa – Sah atau Batal?
Kesimpulannya, qada puasa Ramadhan memang wajib untuk korang yang tertinggal puasa sebab uzur, musafir atau sebab lain yang dibenarkan. Dalam artikel ni, kita dah kongsi lafaz niat puasa ganti. Kita juga terangkan waktu sesuai untuk berniat dan siapa yang wajib qada puasa.
Niat yang betul adalah penting, dan ia perlu dilakukan sebelum subuh, dengan sunat untuk melafazkan niat secara lisan. Bagi mereka yang tidak mampu berpuasa, mereka harus menggantikan puasa tersebut sebelum Ramadhan seterusnya atau membayar fidyah jika tidak dapat berpuasa lagi.
Artikel ini memberikan panduan lengkap dan mudah faham supaya ibadah qada puasa dapat dilakukan dengan sempurna.