Tragedi Berdarah: Singapura Dilanggar Todak

Singapura Dilanggar Todak
Kongsi Artikel ini

Kisah Singapura Dilanggar Todak merupakan antara cerita rakyat Melayu yang penuh dengan simbolik dan makna tersirat. Ia bukan sekadar dongeng yang diwarisi turun-temurun, tetapi turut tercatat dalam naskhah agung Sejarah Melayu, sebuah karya penting yang mendokumentasikan warisan sejarah Nusantara.

Legenda ini bermula dengan peristiwa tragis pembunuhan Tun Jana Khatib, seorang tokoh berilmu yang dihukum mati tanpa keadilan. Tidak lama selepas itu, Singapura digemparkan dengan serangan todak yang mengorbankan ramai rakyat. Dalam keadaan genting itulah muncul kebijaksanaan seorang budak bernama Hang Nadim, yang akhirnya berjaya menyelamatkan negeri daripada musibah besar.

Lebih daripada sekadar kisah serangan todak, catatan ini membawa pengajaran tentang keadilan, kepimpinan, dan hakikat bahawa kebijaksanaan seringkali lebih ampuh daripada kekuatan. Setiap watak yang muncul dalam kisah ini menyampaikan mesej yang kekal relevan, meskipun zaman telah berubah.

Tun Jana Khatib dan Tragedi Berdarah

Menurut catatan lama, seorang alim yang hebat dengan ilmu kebatinan, dikenali sebagai Tun Jana Khatib, pernah datang ke Singapura. Pada suatu hari, ketika melalui kawasan istana, beliau menggunakan ilmu hikmat untuk membelah pokok pinang gading. Perbuatannya itu menimbulkan murka Raja Singapura yang menuduh beliau mengganggu isteri baginda.

Tanpa sebarang perbicaraan yang adil, Tun Jana Khatib dihukum bunuh di Hujung Pasar (kini dikenali sebagai Kampung Gelam). Sebelum ajalnya tiba, beliau sempat melaungkan sumpahnya kepada orang ramai:

"Wahai sekalian manusia, ketahuilah! Aku redha menerima kematian ini. Namun ingatlah, raja yang zalim itu tidak akan terlepas begitu sahaja. Kezaliman pasti dibalas, dan Singapura ini kelak akan porak-peranda, ditimpa malapetaka yang dahsyat!"

Sepantas kilat petanda terus menikam sebilah keris ke arah Tun Jana Khatib, akhirnya beliau tersungkur lalu rebah ke bumi. Ketika hendak membawa jenazah Tun Jana Khatib ke tanah perkuburan, ada yang tidak kena pada jenazah Tun Jana Khatib.

Mengikut lagenda, jenazah beliau tiba-tiba ghaib tetapi darahnya masih ada, ramai orang bingung dan hairan akan kejadian tersebut. Beberapa minit kemudian ribut petir telah menggemparkan Singapura dan disusuli dengan dentuman kuat. Rakyat terus lari menyelamatkan diri dan pergi ke tempat kejadian semula. Orang ramai mula gempar darah Tun Jana Khatib tadi telah bertukar menjadi batu.

Sementara itu penduduk di Langkawi pula mula gempar kerana mayatnya telah terbaring di tepi pantai. Penduduk disana telah mendakwa jenazah itu adalah Tun Jana Khatib. Jenazahnya kemudian dikebumikan di sebuah tanah perkuburan yang dipanggil Makam Purba.

Peristiwa ini dirakamkan dalam pantun lama:

Telur Itik dari Singgora,
Pandan tersandar di batang tui,
Darah titik di Singapura,
Badan terhantar di Langkawi.

Kematian tanpa keadilan ini dipercayai sebagai punca bala besar yang menimpa Singapura tidak lama kemudian.

Singapura Dilanggar Todak

Tidak lama selepas hukuman itu, Singapura digemparkan dengan serangan ribuan ikan todak di pesisir pantai. Serangan tersebut amat dahsyat, hinggakan rakyat yang cuba melawan menjadi mangsa. Pantai menjadi padang pembunuhan, mayat bergelimpangan, dan keadaan huru-hara.

Raja yang buntu mengarahkan rakyat berdiri di tepi pantai sebagai benteng. Namun usahanya gagal. Seorang demi-seorang daripada mereka mati ditikam oleh ikan todak. Semua orang berada dalam ketakutan dan mereka menyangka tiada harapan lagi untuk bertahan.

Keadaan ini membuatkan Raja Singapura bertambah murka dan seraya mendakwa sesiapa yang lari akan dikira sebagai penderhaka kepada raja yang akan ditimpa tulah. Malangnya, ribuan rakyat terus menjadi korban. Keadaan semakin buruk apabila serangan todak berlaku dalam skala besar.

Kebijaksanaan Hang Nadim

Di tengah kekacauan itu, muncullah seorang budak bijak bernama Hang Nadim menghadap raja. Dengan berani, beliau mengusulkan agar seeloknya jika dibariskan batang pisang untuk dijadikan kubu pertahanan. Idea ini ternyata berhasil. Todak yang menyerang tersangkut pada batang pisang dan tidak lagi membunuh rakyat. Apabila ikan todak berhenti menyerang orang ramai yang ada di situ mula ke pantai lalu membersihkan ikan todak itu. Singapura akhirnya bebas dari serangan ikan todak.

Namun, kecerdikan Hang Nadim telah menimbulkan rasa iri hati para pembesar istana. Mereka bimbang kepintarannya akan menggugat kedudukan mereka. Lalu, mereka menghasut Raja agar menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Nadim.Termakan hasutan, raja memerintahkan budak kecil itu dihukum mati.

Ada yang mengatakan Hang Nadim ditikam dengan keris, ada pula yang percaya beliau dicampakkan ke laut hingga mati lemas. Apa yang pasti, kematiannya adalah simbol pengkhianatan terhadap generasi muda yang berani dan bijaksana.

Siapakah Raja Singapura Waktu Itu?

Sejarah Melayu mencatat bahawa kerajaan Singapura diasaskan oleh Sang Nila Utama, yang menamakan Temasik sebagai Singapura. Berdasarkan klu daripada catatan sejarah, peristiwa Singapura Dilanggar Todak dipercayai berlaku pada zaman ayahanda Parameswara (Iskandar Syah), pengasas Kesultanan Melaka. Walaupun tiada tarikh tepat direkodkan, kisah ini kekal sebagai salah satu peristiwa besar dalam sejarah awal Singapura.

Baca juga: Sejarah Awal Kesultanan Melayu Melaka & Kisah Parameswara

Pengajaran Dari Kisah Singapura Dilanggar Todak

Legenda ini penuh dengan simbolik dan pengajaran yang masih relevan hingga kini:

  • Kezaliman pemerintah membawa musibah – pembunuhan tanpa keadilan mengundang bala.
  • Kebijaksanaan tidak mengenal usia – Hang Nadim membuktikan seorang budak mampu menyelamatkan negeri.
  • Hasad dengki menghancurkan bangsa – iri hati para pembesar menyebabkan nyawa yang berharga dikorbankan.

Kisah Singapura Dilanggar Todak adalah cerminan bagaimana kuasa, kezaliman, dan hasutan boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan. Pada masa yang sama, ia juga mengangkat nilai keberanian, kebijaksanaan, serta pentingnya keadilan dalam kepimpinan. Walaupun berabad-abad telah berlalu, pengajaran daripada legenda ini tetap segar dan menjadi warisan berharga dalam sejarah Melayu.

🔍 Banyak lagi kisah epik dalam Sejarah Melayu yang ramai tak tahu. Ikuti Projek Travel untuk baca lebih banyak cerita menarik & jangan lupa share artikel ni pada geng korang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *