Cara Buat dan Simpan Tempoyak Durian Supaya Tahan Lama, Tak Cepat Masam & Tak Berkulat
Berita baik buat penggemar tempoyak! Kalau korang tengah cari cara simpan tempoyak supaya tak cepat berkulat, tahan lama dan kekal sedap, artikel ni memang wajib baca. Sama ada untuk buat sambal tempoyak, gulai, atau masakan popular macam ikan patin tempoyak; kualiti tempoyak memainkan peranan penting.
Tempoyak sebenarnya boleh tahan berminggu-minggu malah sampai berbulan-bulan kalau disimpan dengan betul. Ikut cara tradisional yang dikongsikan ini untuk hasilkan tempoyak durian yang tidak berkulat, dan beraroma wangi memikat.
Apa Itu Tempoyak
Tempoyak ialah makanan tradisional Melayu yang diperbuat daripada isi durian yang diperam sehingga masam. Ia dihasilkan dengan mengasingkan isi durian daripada bijinya dan disimpan dalam bekas bertutup selama beberapa hari. Ada yang menambah sedikit garam untuk mempercepatkan proses penapaian dan menjadikannya tahan lebih lama. Rasa tempoyak masam, lemak dan beraroma kuat, menjadikannya bahan istimewa dalam masakan seperti ikan patin tempoyak, sambal tempoyak dan tempoyak daun kayu.
Selain menyedapkan makanan, tempoyak juga mengandungi probiotik semula jadi yang baik untuk penghadaman. Tempoyak mencerminkan kreativiti masyarakat dalam memelihara hasil durian semasa musim durian berlebihan.
Kenapa Tempoyak Cepat Masam & Berkulat?
Ramai yang tak sedar bahawa pemilihan isi durian, teknik penyimpanan dan proses pemeraman mempengaruhi kualiti tempoyak. Tempoyak yang terlalu banyak air, kurang garam atau disimpan dalam bekas yang salah mudah rosak dan cepat naik kulat. Jadi, jom belajar cara buat tempoyak yang betul!
Resipi Tempoyak Durian Yang Sedap & Tahan Lama
✅ 1. Cara Buat Tempoyak Manis (Tak Masam, Tahan Segar)
Kalau korang suka rasa tempoyak yang lemak manis dan tak terlalu masam, boleh ikut langkah ini:
- Pilih isi durian yang berkualiti (manis & segar).
- Asingkan biji durian dengan bersih.
- Masukkan isi durian ke dalam bekas bertutup rapat.
- Untuk penggunaan harian, simpan dalam bekas kecil supaya mudah diambil.
- Untuk simpanan jangka panjang, bekukan dalam freezer (bekas berasingan).
💡 Tips: Simpanan dalam freezer mengekalkan rasa asli durian tanpa menukar rasa menjadi terlalu masam.
✅ 2. Cara Buat Tempoyak Masam (Untuk Tahan Lebih Lama & Elak Kulat)
Jika korang nak simpan tempoyak dalam jangka panjang, ikut cara ni:
- Guna isi durian yang murah atau kurang cantik (jangan guna yang berkulat!).
- Asingkan isi daripada biji dengan teliti.
- Letak isi durian dalam penapis dan biarkan pada suhu bilik selama 2 malam untuk proses pengewapan air.
- Gaulkan isi dengan sedikit garam kasar – jangan berlebihan supaya tak jadi masin pahit.
- Masukkan dalam balang kaca dan padatkan sehingga penuh.
- Tabur sedikit gula pasir di bahagian atas sebelum tutup – ini membantu mencegah kulat.
- Simpan dalam peti sejuk atau suhu bilik (bergantung pada cuaca dan lokasi rumah).
- Gunakan balang kecil untuk elak sentuhan berulang yang boleh mempercepatkan kerosakan.
Dengan mengikuti cara simpan tempoyak yang betul, korang bukan saja boleh elak tempoyak cepat masam atau berkulat, malah boleh nikmati rasa lemak manis atau masam yang autentik untuk pelbagai masakan. Sama ada nak buat sambal tempoyak pedas, masak tempoyak daun kayu atau ikan patin tempoyak, hasilnya pasti memuaskan!
Baca Juga: 7 Cara Pilih Buah Durian Elok & Berisi Penuh: Tips Penting Beli Durian
Jangan lupa simpan artikel Cara Buat Tempoyak Durian ini untuk rujukan dan kongsikan dengan keluarga atau rakan yang suka makan tempoyak. Nak lebih banyak resipi dan tip menarik, follow kami di media sosial Projek Travel!
- Resipi Kangkung Belacan
- Rainforest Rising di Anurak Community Lodge: Pengalaman Eco-Tourism Unik di Surat Thani
- Cuti Deepavali 2025 & Cuti Sekolah Tambahan KPM
- 5 Aktiviti Menarik Wajib Cuba di Surat Thani, Thailand
- Saudia Airlines Diiktiraf Antara Syarikat Penerbangan Terkemuka Dunia Dalam Keselamatan Operasi & Kualiti
One thought on “Cara Buat Tempoyak Durian Supaya Tahan Lama Dan Tak Berkulat”