Karipap ialah antara kuih paling popular di Malaysia, digemari sebagai sarapan, minum petang atau snek ringkas. Apa yang buat karipap sedap ialah gabungan kulit yang rangup dan inti yang cukup rasa. Bila salah satu tak kena, terus hilang nikmatnya.
Selain karipap daging, karipap kentang ayam semakin jadi pilihan kerana rasanya lebih ringan, tidak muak dan sesuai untuk semua peringkat umur. Lebih-lebih lagi bila dibuat sendiri di rumah, inti boleh diisi lebih banyak dan rasa boleh dilaraskan ikut selera.
Resipi ini memfokuskan cara menghasilkan karipap kentang ayam rangup, inti padu dan mudah dibuat, sesuai untuk makan terus atau simpan sebagai stok frozen di rumah.
Resipi Karipap Kentang Ayam Rangup
Bahan-Bahan Diperlukan
Bahan Kulit Karipap
- 500g (±4 cawan) tepung gandum
- 2 sudu besar marjerin
- ½ cawan minyak masak
- 1 cawan air sejuk
- ½ sudu kecil garam
- 2 sudu besar tepung beras
Bahan Inti Kentang Ayam
- 300g isi ayam (dicincang)
- 6–7 biji kentang (±1.2kg)
- 1 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 2 tangkai daun kari
- 4 sudu besar serbuk kari
- 1–2 sudu besar serbuk cili
- 1 sudu kecil lada hitam
- 1 kiub pati ayam (pilihan)
- Sedikit air
- 1–2 sudu besar gula
- Garam secukup rasa
- Daun sup (dihiris halus)
Cara Memasak
Inti Karipap
- Kupas dan potong dadu kentang, basuh bersih dan ketepikan.
- Cincang kasar isi ayam, potong dadu bawang besar dan cincang halus bawang putih.
- Bancuh serbuk kari dan serbuk cili dengan sedikit air.
- Panaskan minyak, tumis bawang besar hingga layu.
- Masukkan bawang putih, diikuti daun kari.
- Bila naik bau, masukkan bancuhan rempah dan masak hingga pecah minyak.
- Tambah sedikit air dan ulang proses hingga rempah betul-betul masak.
- Masukkan isi ayam, lada hitam dan kacau sebati.
- Masukkan kentang, kiub pati ayam, gula dan garam.
- Tambah sedikit air dan masak hingga kentang empuk.
- Tutup api, tabur daun sup dan sejukkan inti sepenuhnya sebelum digunakan.
Penyediaan Kulit Karipap
- Gaulkan tepung gandum, tepung beras dan garam.
- Panaskan minyak masak dan marjerin hingga cair.
- Tuang minyak panas ke dalam tepung dan gaul hingga berderai.
- Masukkan air sejuk sedikit demi sedikit dan uli hingga jadi doh.
- Rehatkan doh selama 30 minit.
- Bahagikan doh kepada ±25g setiap satu (±38–40 biji).
- Leperkan doh, isi inti secukupnya dan kelim kemas.
- Goreng dalam minyak sederhana panas hingga keemasan.
Petua Penting Supaya Karipap Cantik & Rangup
- Leperkan doh bentuk bujur untuk karipap nampak buncit dan cantik
- Jangan goreng dengan minyak terlalu panas (takut dalam mentah)
- Untuk simpan frozen: susun karipap jarak-jarak, bekukan dulu sebelum simpan dalam bekas
Kesimpulan
Resipi karipap kentang ayam ini sangat sesuai untuk korang yang nak hasil nampak profesional, rasa padu dan puas hati. Sama ada untuk makan sendiri, jamuan keluarga atau buat jualan kecil-kecilan, resipi ini memang boleh diharap.
Kalau korang suka perkongsian resipi, kisah makanan tradisional & travel unik macam ni, jangan lupa follow media sosial Projek Travel. Simpan resipi ini & kongsi dengan kawan-kawan supaya lebih ramai boleh cuba!