Fakta Menarik Tentang Durian yang Ramai Tak Tahu; Khasiat, Mitos & Amaran Penting Sakit Kronik!
Durian, si Raja Buah yang sinonim dengan Malaysia, bukan sahaja dikenali kerana aromanya yang ‘mewangikan alam’ dan rasanya yang unik lemak manis, tetapi juga menyimpan pelbagai rahsia kesihatan yang mungkin ramai belum tahu. Dalam setiap ulas isi durian yang tebal, tersimpan kandungan nutrisi, zat aktif dan bahan bioaktif yang sangat bermanfaat (dan ada juga yang perlu diberi perhatian).
Musim durian 2025 bukan sekadar tentang menikmati keenakan Musang King atau D24, tetapi juga peluang untuk kita lebih mengenali fakta menarik tentang durian dari sudut sains dan kesihatan. Sama ada korang kaki durian, atau baru nak mula belajar nikmati raja buah ini; artikel ini wajib korang baca sampai habis!
Ini Fakta Menarik Tentang Durian
1. Durian Kaya Dengan Asid Amino Tryptophan – Baik Untuk Tidur
Antara khasiat durian yang jarang disebut ialah kandungan asid amino tryptophan yang tinggi. Bahan ini penting kerana ia bertindak sebagai prekursor kepada serotonin; hormon yang mengawal emosi, tidur dan relaksasi. Maka, bagi individu yang ada masalah insomnia atau sering gelisah, makan durian secara sederhana boleh bantu menenangkan fikiran.
2. Durian Mengandungi Organosulfur – Bersifat Antikanser & Pelindung Jantung
Tahukah anda durian adalah satu-satunya buah tropika yang tinggi kandungan organosulfur? Kompaun ini bertanggungjawab menghasilkan bau kuat pada durian, tetapi ia sebenarnya membawa manfaat besar. Organosulfur bersifat antikanser, antioksidan, antimikrob dan mampu melindungi jantung daripada penyakit kronik. Jadi, di sebalik baunya yang menusuk, tersembunyi zat yang luar biasa!
3. Kalori Durian Hampir Sama Dengan Nasi
Ramai yang takut gemuk bila makan durian. Tapi sebenarnya, 100 gram durian hanya mengandungi 147 kalori, manakala 100 gram nasi putih pula sekitar 151 kalori. Ini menunjukkan durian tidaklah seteruk yang disangka, asalkan dimakan dengan berpada. Sesuai untuk mereka yang sedang kawal kalori secara bijak.
4. Pesakit Diabetes Perlu Berhati-Hati ⚠️
Pesakit kencing manis dinasihatkan agar tidak makan durian secara berlebihan kerana kandungan gula semula jadinya agak tinggi. Walau bagaimanapun, ada kajian menunjukkan bahawa kulit durian mempunyai sifat antidiabetis. Cuma kesannya lebih rendah berbanding ubat glibenklamid yang digunakan dalam rawatan hospital. Jadi, jangan jadikan durian sebagai rawatan alternatif ya!
5. Makan Durian Terlalu Banyak Boleh Tingkatkan Degupan Jantung ⚠️
Ada kajian menunjukkan bahawa mengambil durian dalam jumlah tinggi boleh menyebabkan kadar denyutan jantung meningkat. Oleh itu, pastikan korang makan ikut kadar yang sesuai, lebih-lebih lagi jika ada masalah tekanan darah tinggi atau jantung. Ingat, sedap tak semestinya boleh dimakan sewenang-wenangnya!
6. Durian Kaya Potassium – Bahaya Jika Ada Masalah Buah Pinggang ⚠️
Dalam setiap 100g isi durian, terdapat kira-kira 426 mg potassium, menjadikannya buah yang sangat tinggi dalam mineral ini. Potassium penting untuk fungsi otot dan jantung, tetapi individu dengan masalah buah pinggang perlu elak pengambilan berlebihan. Terlalu banyak potassium boleh menyebabkan komplikasi serius kepada buah pinggan dan kesihatan.
7. Elakkan Makan Durian Bersama Paracetamol ⚠️
Ini mungkin mengejutkan ramai. Kajian ke atas tikus menunjukkan bahawa gabungan durian dan paracetamol boleh memberi kesan toksik dan menurunkan suhu badan secara mendadak. Maka, elakkan makan durian jika anda baru mengambil ubat demam seperti paracetamol; demi keselamatan dan keseimbangan tubuh.
8. Durian Tidak Boleh Dimakan Bersama Alkohol & Tapai ⚠️
Kes klinikal pernah melaporkan seorang wanita mengalami kematian selepas mengambil durian bersama alkohol. Kombinasi ini boleh menyebabkan kembung perut teruk, kesukaran bernafas dan potensi keracunan. Walaupun tapai hanya mengandungi alkohol pada kadar rendah, sebaiknya elak makan bersama durian bagi mengelakkan kesan sampingan tidak diingini.
Sumber Rujukan: Dr Suri Roowi’s facebook post
Makan Durian Dengan Ilmu, Bukan Nafsu!
Walaupun durian memang sedap dan menggoda, cara makan durian yang betul amat penting untuk kesihatan. Dengan memahami fakta menarik tentang durian, korang bukan sahaja boleh menikmati keenakannya, tetapi juga tahu batas pengambilan mengikut tahap kesihatan masing-masing.
Baca Juga: 7 Cara Pilih Buah Durian Elok & Berisi Penuh – Tips Penting Beli Durian
Jangan lupa kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan korang yang gilakan durian! Untuk lebih banyak info kesihatan, makanan tempatan dan travel menarik, follow kami di semua platform media sosial Projek Travel. Simpan artikel ini sebagai rujukan musim durian 2025 korang!
One thought on “Fakta Menarik Tentang Durian yang Ramai Tak Tahu!”