Beza Jenis Durian Popular di Malaysia: Musang King, D24, Black Thorn, XO & Lain-lain (2025)

Beza Jenis Durian Popular di Malaysia 2025
Kongsi Artikel ini

Perbezaan Antara Jenis Durian Popular di Malaysia: Musang King, D24, Black Thorn, XO & Lain-lain (2025)

Musim durian 2025 sudah tiba! Jika korang seorang peminat durian sejati atau sekadar ingin mencuba pelbagai jenis raja buah ini, penting untuk kenal pasti perbezaan setiap varieti. Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis durian premium seperti Musang King, D24, Black Thorn, XO, dan Udang Merah, yang masing-masing memiliki rasa, tekstur dan harga tersendiri.

Dalam artikel ini, kami senaraikan perbezaan antara jenis durian yang paling terkenal di Malaysia; panduan penting sebelum korang ke dusun atau buffet durian!

Jenis Durian Serta Ciri-Ciri

1. Musang King (Mao Shan Wang)

Musang King Malaysia adalah antara durian premium terbaik dan paling popular di negara ini. Ia dikenali melalui warna isi kuning keemasan yang pekat, tekstur yang lemak berkrim seperti kastard, serta rasa pahit-manis yang kaya dan seimbang. Saiz buahnya besar, dan bijinya pula lebih kecil berbanding jenis lain, menjadikan isi lebih padat dan memuaskan setiap kali dimakan.

Rasa: Kaya dan pahit-manis
Tekstur: Lemak, berkrim dan halus

2. D24 (Durian Sultan)

Sebelum Musang King ‘takeover’, D24 adalah pilihan utama rakyat Malaysia. Harganya lebih mesra poket dan sering digunakan sebagai bahan utama dalam pelbagai pencuci mulut seperti kek dan ais krim kerana teksturnya yang halus serta rasa manis dengan sedikit pahit. Memang sesuai untuk korang yang nak cuba durian sedap untuk dessert.

Rasa: Manis dengan sedikit pahit
Tekstur: Halus dan berkrim

3. Black Thorn (Duri Hitam / D200)

Durian Black Thorn merupakan pesaing terdekat Musang King! Sukar didapati dan harganya setanding, jika tidak lebih mahal. Namanya berasal dari garisan kemerahan dan kelopak hitam di hujung kulitnya. Isinya tebal, kuning jingga, dan sangat mudah terkoyak kerana tekstur yang lembut dan berkedut. Ringkasnya, ia adalah jenis durian termahal.

Rasa: Manis dengan sedikit pahit
Tekstur: Lembut, kastard dan melekit

4. XO

Durian XO, dinamakan sempena minuman keras XO kerana mempunyai rasa sedikit ‘fermentasi’ yang unik. Durian ini kaya rasa, sedikit pahit dan memberikan sensasi seakan-akan alkohol (durian beralkohol) kerana proses penapaian semulajadi dalam kulitnya.

Rasa: Manis dan sedikit alkoholik
Tekstur: Berkrim dengan sedikit kenyal

5. Udang Merah (Ang Heh / D175)

Durian Udang Merah, dinamakan berdasarkan warna kulit dan isi yang kemerahan. Isinya lembut, kaya rasa dan bertekstur baldu. Ia sangat popular di Pulau Pinang dan Sabah, tetapi sukar didapati, menjadikannya antara varieti eksklusif.

Rasa: Sangat manis dan berlemak
Tekstur: Lembut dan berserat halus

6. D13

Durian D13, sering disalah anggap sebagai Udang Merah kerana rupa dan warna isi yang hampir serupa. Namun, D13 mempunyai biji yang lebih besar dan tekstur yang lebih melekit. Ia merupakan durian manis tanpa pahit.

Rasa: Ringan, manis dengan sedikit aroma vanila
Tekstur: Lembut dan melekit

7. Black Pearl (Tai Yuan / Tai Guan)

Isi Durian Black Pearl ini kelihatan pucat, tetapi jangan tertipu! Rasanya sangat kompleks dan kaya. Durian ini sangat jarang ditemui dan mengandungi biji kecil seperti mutiara.

Rasa: Susu dan sedikit pahit
Tekstur: Halus dan berkrim

8. Hor Lor (D163)

Durian Hor Lor, sangat sesuai untuk penggemar durian yang tidak gemar isi terlalu melekit (kering dan tak melekit). Rasanya ringan dan seimbang; pilihan terbaik untuk pemula!

Rasa: Manis dan sederhana
Tekstur: Lembut dan kering sedikit

9. Black Gold (Empire King)

Durian Black Gold sangat sesuai untuk ‘kaki durian tegar’ yang suka rasa pahit dan tekstur licin seperti kastard. Warnanya lebih gelap, isinya likat dan sangat kaya. Harga juga jauh lebih premium.

Rasa: Sangat pahit, intens
Tekstur: Lembut dan pekat

BONUS: Durian Kampung

Durian kampung merujuk kepada pelbagai varieti durian tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan kampung. Saiz, rasa dan teksturnya tidak seragam; ada yang sangat sedap, ada juga yang sederhana, bergantung kepada lokasi dan pokok induk. Durian jenis ini biasanya murah rasanya tetap sedap.

Rasa & Tekstur: Pelbagai (bergantung pada jenis dan kawasan)

Menjelang kemuncak musim durian 2025, pemilihan durian bukan lagi sekadar ikut harga; tetapi soal rasa, pengalaman, dan citarasa peribadi. Sama ada korang peminat durian kampung, penggila Musang King, atau pencinta rasa eksotik seperti XO dan Black Thorn, Malaysia memang syurga untuk nikmati raja buah sebenar!

Baca Juga: 7 Cara Pilih Buah Durian Elok & Berisi Penuh: Tips Penting Beli Durian

Jangan lupa kongsikan artikel berkaitan Jenis Durian Popular di Malaysia ini dengan kawan-kawan kaki durian! Untuk lebih banyak artikel menarik tentang makanan dan pelancongan tempatan, follow kami di media sosial Projek Travel dan simpan artikel ini untuk rujukan musim durian korang nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *