Indonesia dikenali sebagai salah satu negara yang memiliki paling banyak gunung berapi aktif di dunia, dengan lebih dari 120 buah gunung berapi yang masih menunjukkan aktiviti. Terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, negara kepulauan ini sering mengalami letusan gunung berapi, gempa bumi dan kejadian geologi lain.
Dalam artikel ini kita akan tengok 11 gunung berapi aktif di Indonesia yang penting untuk diketahui – baik dari segi keselamatan, sejarah letusan dan juga keunikannya sebagai destinasi pelancongan berisiko tinggi.
Gunung Merapi (Yogyakarta & Jawa Tengah)
Gunung Merapi terkenal sebagai salah satu gunung berapi paling aktif di dunia. Letusan terakhir yang besar berlaku pada Januari 2024, mengakibatkan awan panas dan aliran lava sejauh 2 kilometer. Gunung ini sering mengalami aktiviti vulkanik setiap 2-3 tahun dan letusan besar setiap 10-15 tahun. Status semasa: Siaga (Level III).
Gunung Marapi (Sumatera Barat)
Jangan keliru dengan “Merapi”, Gunung Marapi di Sumatera adalah yang paling aktif di kawasan barat Indonesia. Letusan tragis pada Disember 2023 meragut 23 nyawa pendaki. Letusan terkini direkodkan pada Januari 2025 dengan kolum abu setinggi 1 kilometer. Zon larangan ditetapkan sejauh 3 km dari kawah.
Gunung Semeru (Jawa Timur)
Gunung Semeru ialah gunung tertinggi di Pulau Jawa (3,676 meter) dan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia. Letusan besar terakhir berlaku pada Disember 2021, menyebabkan 51 kematian dan kerosakan infrastruktur besar. Sejak itu, Semeru terus menunjukkan aktiviti, termasuk letusan berturut-turut pada Januari dan April 2025 dengan kolom abu setinggi 800 meter. Status semasa: Siaga (Level III) dan pemantauan ketat masih diteruskan oleh pihak berkuasa.
Gunung Lewotobi Laki-Laki (Flores, NTT)
Gunung ini menjadi tumpuan dunia selepas letusan besar akhir 2024 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan memaksa lebih 10,000 orang berpindah. Kerajaan Indonesia kini merancang untuk merelokasi penduduk dalam radius 7 km dari kawah.
Gunung Kerinci (Sumatera)
Dengan ketinggian 3.805 meter, Gunung Kerinci adalah gunung berapi tertinggi di Indonesia dan terletak dalam kawasan Taman Nasional Kerinci Seblat. Letusan terakhir terjadi pada Januari 2023, menjadikannya sebagai kawasan pemantauan tinggi oleh pihak berwenang.
Gunung Anak Krakatau (Selat Sunda)
Gunung Anak Krakatau muncul dari laut pada tahun 1927, selepas letusan dahsyat Gunung Krakatau pada tahun 1883. Ia kekal aktif sehingga kini, dengan letusan besar terakhir pada 22 Disember 2018 yang mencetuskan tsunami dan mengorbankan lebih daripada 400 orang. Aktiviti vulkanik berterusan, termasuk letusan pada 27 November 2023 dengan kolom abu mencapai 2,000 meter di atas puncak.
Gunung Bromo (Jawa Timur)
Terletak di ketinggian 2,329 meter, Gunung Bromo adalah sebahagian daripada Taman Nasional Bromo Tengger Semeru dan merupakan salah satu gunung berapi aktif di Indonesia. Meskipun aktif, Bromo tetap menjadi ikon pelancongan yang terkenal, dengan kawahnya yang mudah diakses dan pemandangan matahari terbit yang memukau dari Puncak Penanjakan. Letusan terakhir berlaku pada 13 Disember 2023, menjadikannya kawasan pemantauan tinggi oleh pihak berkuasa.
Gunung Rinjani (Lombok, NTB)
Dengan ketinggian 3.726 meter, Gunung Rinjani merupakan gunung berapi tertinggi kedua di Indonesia. Gunung ini memiliki kaldera besar yang menampung Danau Segara Anak, dengan kerucut vulkanik aktif Gunung Barujari di dalamnya. Letusan terakhir terjadi pada 27 September 2016, menghasilkan kolom abu setinggi 2.000 meter dan meningkatkan status aktivitas gunung ke Level II (Waspada). Rinjani tetap menjadi destinasi pendakian dan ekspedisi yang populer, menarik banyak pendaki yang ingin menikmati keindahan alamnya.
Gunung Sinabung (Sumatera Utara)
Setelah dorman selama lebih dari 400 tahun, Gunung Sinabung kembali aktif pada 27 Ogos 2010. Sejak itu, ia terus menunjukkan aktiviti vulkanik yang berbahaya, termasuk letusan-letusan signifikan. Letusan terakhir yang tercatat berlaku pada 2 Mac 2021, dengan kolom abu mencapai ketinggian sekitar 5,000 meter di atas puncak. Gunung ini tetap berada dalam status Siaga (Level III) & terus dipantau oleh pihak berkuasa.
Artikel Menarik : 12 Destinasi Menarik di Sekitar Medan, Sumatera Utara Indonesia
Gunung Agung (Bali)
Dengan ketinggian 3,142 meter, Gunung Agung merupakan gunung tertinggi di Bali dan dianggap suci oleh masyarakat setempat. Letusan besar pada tahun 1963 mengakibatkan lebih daripada 1,500 kematian dan kerosakan meluas. Setelah beberapa dekad tidak aktif, gunung ini kembali meletus pada 2017, menyebabkan gangguan besar terhadap penerbangan dan pelancongan di pulau tersebut, termasuk penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai dan pemindahan lebih daripada 100,000 penduduk di kawasan sekitar.
Gunung Ruang (Sulawesi Utara) – Trending 2025
Gunung Ruang ialah gunung berapi aktif jenis stratovolcano yang terletak di Pulau Ruang, Sulawesi Utara, Indonesia, dengan ketinggian sekitar 725 meter. Ia terkenal dengan letusan besar yang pernah berlaku pada tahun 1871, 2002, dan yang terkini pada April 2024. Letusan tersebut menyebabkan lebih 800 penduduk dipindahkan serta mencetuskan amaran tsunami sementara.
Aktiviti letusan melibatkan lontaran abu dan lava ke laut, menjadikan Gunung Ruang antara gunung berapi kecil yang mampu membawa impak besar. Kini, gunung ini masih berada dalam pemantauan rapi oleh pihak berkuasa Indonesia, dengan status Awas (Level IV).
Kesimpulannya, kejadian letusan gunung berapi bukan sekadar fenomena alam biasa — ia membawa kesan besar terhadap keselamatan, alam sekitar dan juga kehidupan seharian rakyat Indonesia. Dari Gunung Merapi yang kerap menggugat Yogyakarta, hingga Gunung Ruang yang ‘senyap tapi berbisa’ di Sulawesi Utara, setiap gunung berapi aktif di Indonesia menyimpan kisah dan ancaman tersendiri.
Dengan lebih 120 gunung berapi aktif, Indonesia bukan sahaja kaya dengan keindahan semula jadi, tetapi juga penuh cabaran geologi yang luar biasa. Penting untuk kita sentiasa cakna dan menghargai kekuatan alam ini – bukan dengan rasa takut, tetapi dengan ilmu dan kesedaran. Sama ada korang peminat geografi, pengembara tegar atau sekadar ingin tahu, memahami gunung berapi Indonesia adalah satu langkah penting untuk mengenali nadi sebenar kepulauan ini.
Jangan lupa simpan dan kongsikan artikel ini jika korang rasa bermanfaat! Untuk lebih banyak info menarik tentang fenomena alam, destinasi pelancongan, dan budaya Nusantara — follow Projek Travel di semua platform media sosial sekarang!
Korang juga boleh tinggalkan komen dan cadangan topik yang korang nak kami kupas seterusnya!