Tradisi Hari Gawai Dayak di Sarawak | Hari Gawai, atau Gawai Dayak, ialah perayaan penting bagi masyarakat Dayak di Sarawak, Malaysia. Disambut setiap 1 dan 2 Jun, perayaan ini bukan sahaja menandakan penghujung musim menuai, tetapi juga mencerminkan kepercayaan spiritual dan penghormatan mendalam terhadap roh nenek moyang serta kekuatan alam semula jadi.
Asal Usul dan Pengiktirafan Hari Gawai
Perkataan “Gawai” dalam bahasa Iban membawa maksud “perayaan” atau “pesta”, manakala “Dayak” merujuk kepada kumpulan etnik pribumi seperti Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, dan Orang Ulu.
Hari Gawai mula diiktiraf secara rasmi sebagai perayaan negeri di Sarawak pada tahun 1964 dan dirayakan secara besar-besaran buat kali pertama pada 1 Jun 1965. Sejak itu, ia menjadi cuti umum di Sarawak, melambangkan kebanggaan etnik dan kekayaan warisan budaya.
Kepercayaan Rohani dan Dunia Ghaib
Dalam tradisi masyarakat Dayak di Sarawak, kepercayaan kepada dunia roh dan kuasa alam semula jadi adalah teras kehidupan. Mereka percaya bahawa roh nenek moyang masih memerhati dan melindungi keturunan mereka. Selain itu, dewa-dewa yang berkait rapat dengan alam seperti Semangat Padi, Menjaya (dewa penyembuhan), dan Petara (Tuhan) memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan dan hasil tuaian yang baik.
Upacara Miring: Penghubung Dunia Roh dan Manusia
Salah satu ritual terpenting dalam Hari Gawai ialah upacara “miring”. Ia merupakan upacara penyembahan dan persembahan yang dilakukan kepada roh-roh nenek moyang dan dewa pelindung.
Dalam upacara ini, ayam, telur, nasi, serta tuak (arak beras) akan dipersembahkan di atas altar khas. Seorang tetua atau pawang yang mahir akan memimpin doa dan bacaan mantera sebagai penghormatan kepada entiti roh, meminta keberkatan untuk kesejahteraan dan musim tuaian akan datang.
Simbolisme Telur dan Ayam dalam Ritual
Dalam beberapa upacara, telur digunakan sebagai simbol permohonan perlindungan kepada Jubata (Tuhan). Telur melambangkan kehidupan baru dan harapan untuk masa depan yang lebih baik. Selain itu, pengorbanan ayam mencerminkan kesyukuran dan permohonan keberkatan untuk hasil tuaian yang melimpah.
Baburung dan Mali Umai: Menyelaraskan dengan Alam
Dalam tradisi Iban, sebelum memulakan upacara Mali Umai (ritual pertanian), seorang tetua akan menjalankan Baburung; mendengar dan mentafsir panggilan burung Murai Batu. Burung ini dianggap sebagai utusan roh atau alam, dan suaranya memberi petanda sama ada sesuatu perancangan boleh diteruskan atau ditangguhkan. Membantu komuniti membuat keputusan yang selaras dengan kehendak alam.
Peranan Balian dan Timang dalam Upacara
Balian (dukun atau pawang) memainkan peranan penting dalam upacara spiritual, terutama dalam menyampaikan timang (mantera atau nyanyian suci) yang bertujuan untuk memanggil dan memujuk roh-roh agar memberkati komuniti. Upacara seperti Gawai Tuah (perayaan tuah) dan Gawai Antu (perayaan untuk roh nenek moyang) melibatkan timang sebagai elemen utama untuk memastikan keseimbangan dan keharmonian antara dunia manusia dan roh.
Selain Gawai Dayak, masyarakat Iban di Sarawak juga mempunyai perayaan lain seperti:
- Gawai Antu – Perayaan khas untuk memperingati roh orang yang telah meninggal dunia. Ia hanya dilakukan sekali dalam beberapa tahun dan melibatkan penyertaan seluruh rumah panjang.
- Gawai Tuah – Perayaan untuk memohon tuah dan perlindungan daripada Tuhan dan roh penjaga.
Kedua-dua perayaan ini melibatkan upacara ritual mendalam yang menggabungkan nyanyian timang, tarian ritual, dan pengorbanan haiwan.
Ritual Lama: Nyobeng dan Gawai Antu
Walaupun amalan Nyobeng – ritual pembersihan tengkorak manusia, telah ditinggalkan sejak 1894, ia masih dikenang sebagai simbol penghormatan kepada roh nenek moyang dan permohonan keberkatan untuk hasil tuaian yang baik. Ritual ini mencerminkan kepercayaan mendalam masyarakat Dayak terhadap kuasa roh dan pentingnya menjaga hubungan baik dengan mereka.
Manakala Gawai Antu ialah perayaan yang didedikasikan sepenuhnya kepada roh yang telah meninggal dunia, dilakukan sekali dalam beberapa tahun sebagai penghormatan kolektif kepada roh leluhur.
Budaya dan Sosial: Suasana Meriah Hari Gawai
Walaupun mempunyai elemen spiritual, Hari Gawai turut diraikan dalam suasana yang meriah dan penuh kegembiraan. Antara acara penting yang sering diadakan:
- Tarian Ngajat – Tarian tradisional Iban yang diwarisi turun-temurun.
- Pakaian tradisional – Lelaki memakai sirat dan wanita memakai ngepan lengkap dengan manik dan aksesori bulu kenyalang.
- Pertandingan Kumang dan Keling Gawai – Pertandingan ratu dan jejaka budaya.
- Rumah Terbuka – Aktiviti ziarah antara rumah panjang. Ia diserikan dengan hidangan tradisional seperti ayam pansuh, kuih jala dan tuak.
Ia adalah masa untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memupuk semangat muafakat dalam komuniti rumah panjang.
Artikel Berkaitan : Hotel Terbaik di Kuching 2025 Mengikut Kategori
Hari Gawai bukan sekadar perayaan musim tuaian; ia adalah nadi kepada identiti Dayak di Sarawak. Melaluinya, nilai-nilai seperti kesyukuran, perpaduan komuniti, dan kelangsungan budaya diteruskan dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Selamat Hari Gawai – Gayu Guru Gerai Nyamai!
(Semoga panjang umur, sihat dan makmur)
Simpan dan kongsikan artikel berkenaan Tradisi Hari Gawai Dayak di Sarawak ini jika korang menghargai warisan budaya Malaysia. Jangan lupa follow Projek Travel untuk lebih banyak kisah budaya dan tradisi dari negeri-negeri kita!
- Cuti Deepavali 2025 & Cuti Sekolah Tambahan KPM
- 5 Aktiviti Menarik Wajib Cuba di Surat Thani, Thailand
- Saudia Airlines Diiktiraf Antara Syarikat Penerbangan Terkemuka Dunia Dalam Keselamatan Operasi & Kualiti
- 7 Makanan Popular di Malaysia yang Wajib Anda Cuba
- Labuan Bajo Sailing Trip 2025: Ini 10 Perkara Korang Perlu Tahu!
2 thoughts on “Hari Gawai Dayak di Sarawak: Simbol Spiritual & Warisan Leluhur”