Lokasi Menarik di Jaipur. Jaipur, yang digelar Pink City, bukan sekadar kota dengan bangunan berwarna merah jambu — ia adalah simbol kemegahan budaya India yang kaya dengan warisan diraja, seni bina klasik, dan spot bergambar yang memang padu untuk korang abadikan dalam setiap percutian.
Dalam artikel ni, kami kongsikan 6 lokasi menarik di Jaipur yang wajib ada dalam bucket list korang — lengkap dengan info lokasi, waktu lawatan & harga tiket, supaya perancangan percutian ke Jaipur anda jadi lebih mudah!
6 Tempat Ikonik Pink City
Paana Meena Kund (Panna Meena Ka Kund)
Paana Meena Kund (juga dikenali sebagai Panna Meena ka Kund atau Panna Meena Baori) ialah sebuah telaga tangga bersejarah yang terletak di kawasan Amer, Jaipur, Rajasthan. Dibina pada abad ke-16, telaga ini berfungsi sebagai tempat takungan air utama & juga sebagai lokasi pertemuan sosial bagi penduduk setempat pada zaman dahulu.

Telaga ini menampilkan reka bentuk geometri yang menakjubkan, dengan tangga simetri membentuk corak zigzag yang membolehkan akses ke air pada pelbagai paras. Ia mempunyai kedalaman kira-kira 200 kaki dan terdiri daripada lapan tingkat dengan lebih daripada 1,800 anak tangga. Di setiap sudut telaga pula terdapat pavilion berbentuk oktagon (chhatri), yang menambahkan lagi keunikan seni bina Rajput-Mughal pada struktur ini.
Amber Fort (Amer Fort)
Amber Fort (Amer Fort) ialah sebuah kubu bersejarah yang terletak di atas bukit di Amer, kira-kira 11 km dari Jaipur, Rajasthan. Ia dibina pada tahun 1592 oleh Raja Man Singh I, & menjadi contoh seni bina Rajput yang menggabungkan unsur Hindu dan Mughal dengan harmoni.

Antara tarikan utamanya ialah Sheesh Mahal atau Istana Cermin, sebuah dewan yang dihiasi ribuan serpihan cermin kecil. Apabila diterangi cahaya, keseluruhan ruangan ini berkilauan bagaikan langit malam berbintang. Selain itu, terdapat juga Diwan-i-Aam (Dewan Pertemuan Awam) & Diwan-i-Khas (Dewan Pertemuan Khas), di mana maharaja dahulu menemui rakyat dan tetamu penting. Kedua-duanya menampilkan ukiran halus dan senibina agung zaman Rajput-Mughal.

Korang juga boleh menyusuri Ganesh Pol, iaitu pintu gerbang istana yang dipenuhi lukisan dan mozek warna-warni, menjadi laluan masuk ke kawasan kediaman diraja. Satu lagi ruang menarik ialah Sukh Niwas, sebuah dewan dengan sistem penyejukan semula jadi menggunakan pengaliran air dan pengudaraan, membuktikan betapa bijaknya senibina tradisional dalam mengekalkan keselesaan.
Di kaki bukit pula terletaknya Maota Lake, tasik tenang yang bukan sahaja memberikan pemandangan mempesona, tetapi juga menjadi sumber air penting kepada istana suatu ketika dahulu.
Jantar Mantar Jaipur
Jantar Mantar Jaipur ialah sebuah observatori astronomi terbuka yang dibina pada abad ke-18 oleh Maharaja Sawai Jai Singh II, pengasas kota Jaipur. Terletak berhampiran City Palace dan Hawa Mahal, ia kini menjadi salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO kerana seni binanya yang unik & sumbangannya kepada sains serta astronomi.

Kompleks ini menempatkan 19 alat astronomi berskala besar yang masih berfungsi. Alat-alat ini digunakan untuk mengukur masa, memantau pergerakan matahari, meramalkan gerhana, dan menentukan kedudukan bintang serta planet.
Antara struktur paling menakjubkan di sini ialah Samrat Yantra — jam matahari terbesar di dunia dengan ketinggian 27 meter. Ia mampu mengukur masa dengan ketepatan hingga dua saat. Turut menarik ialah Jai Prakash Yantra, iaitu dua mangkuk separuh sfera yang membolehkan pemerhati menentukan koordinat langit. Manakala Rama Yantra digunakan untuk mengukur azimut dan altitud objek cakerawala.
Apa yang menjadikan tempat ini istimewa ialah peluang melihat sendiri bagaimana masyarakat dahulu menggunakan seni bina dan ilmu kiraan untuk memahami alam — tanpa bantuan teknologi moden.
City Palace Jaipur
City Palace Jaipur merupakan salah satu mercu tanda paling megah di Jaipur dan lambang kemewahan warisan diraja Rajasthan. Dibina pada tahun 1727 oleh Maharaja Sawai Jai Singh II, kompleks ini menampilkan gabungan seni bina Rajput, Mughal dan elemen Eropah yang sangat mempesona. City Palace bukan sekadar bangunan bersejarah, tetapi juga masih menjadi kediaman rasmi keluarga diraja Jaipur sehingga hari ini.

Antara tarikan utama di dalam kompleks ini termasuk Chandra Mahal, bangunan tujuh tingkat yang sebahagiannya dibuka kepada umum & menempatkan muzium artifak diraja. Mubarak Mahal pula mempamerkan koleksi pakaian tradisional, tekstil, dan barangan kebudayaan. Pengunjung juga boleh melihat Diwan-i-Khas, dewan eksklusif yang menyimpan dua Gangajalis — bekas perak terbesar di dunia, digunakan oleh maharaja untuk membawa air suci Ganges ke England. Jangan lepaskan peluang ke Pritam Niwas Chowk, halaman dengan empat pintu gerbang berwarna-warni yang mewakili musim dan dewa Hindu tertentu.
Lawatan ke City Palace bukan sahaja membawa pengunjung menjelajah ruang istana yang mewah, tetapi turut memberi gambaran jelas tentang kehidupan & budaya aristokrat India pada masa lalu.
Hawa Mahal
Hawa Mahal, atau “Istana Angin”, merupakan ikon utama Jaipur yang dibina pada tahun 1799 oleh Maharaja Sawai Pratap Singh. Direka oleh arkitek Lal Chand Ustad, struktur lima tingkat ini menampilkan 953 jharokha (tingkap kecil) yang dihiasi dengan ukiran halus, membentuk fasad seperti sarang lebah yang unik.

Tujuan utama pembinaan Hawa Mahal adalah untuk membolehkan wanita diraja mengamati kehidupan harian dan perarakan di jalanan tanpa dilihat, selaras dengan amalan purdah pada masa itu. Reka bentuk jharokha juga membolehkan aliran udara sejuk melalui bangunan, menjadikannya nyaman walaupun dalam cuaca panas.

Dibina menggunakan batu pasir merah dan merah jambu, Hawa Mahal mencerminkan gabungan seni bina Rajput dan Mughal. Struktur ini menjadi simbol keunikan seni bina Jaipur dan destinasi wajib bagi pelancong yang mengunjungi Pink City.
Patrika Gate
Patrika Gate merupakan sebuah struktur berwarna-warni yang terletak di pintu masuk Taman Jawahar Circle di Jaipur. Dibina pada tahun 2016 oleh Kumpulan Patrika, gerbang ini menjadi salah satu mercu tanda moden yang menampilkan seni bina tradisional Rajputana dalam bentuk yang sangat estetik & simbolik. Setiap dinding dan tiang dihiasi dengan mural yang menggambarkan warisan kebudayaan, sejarah diraja, dan tradisi rakyat Rajasthan.

Apa yang menjadikan Patrika Gate begitu unik ialah reka bentuk simboliknya — 9 paviliun, 52 panel & 365 tiang, yang mewakili 9 planet, 52 minggu & 365 hari dalam setahun. Gabungan warna terang, ukiran halus dan struktur simetri menjadikannya lokasi bergambar yang sangat popular, terutama dalam kalangan pencinta tempat ‘Instagrammable’.

Lokasinya yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Jaipur juga menjadikannya destinasi ideal untuk persinggahan ringkas sebelum atau selepas lawatan ke Pink City.
Jadual Rujukan Lokasi Menarik di Jaipur
Lokasi | Yuran Masuk (Local / Asing / Pelajar) | Waktu Lawatan | Tarikan Utama |
Paana Meena Kund | Percuma | 7:00 am – 6:00 pm | Telaga tangga bersejarah & simetri unik |
Amber Fort | ₹100 / ₹550 / ₹10-₹100 | 8:00 am – 5:30 pm | Sheesh Mahal, pemandangan bukit |
Jantar Mantar | ₹50 / ₹200 / ₹15-₹100 | 9:00 am – 4:30 pm | Alat astronomi & status UNESCO |
City Palace | ₹200 / ₹700 / Tiket Khas ₹2,000 – ₹3,000 | 9:30 am – 5:00 pm | Muzium diraja, galeri seni, kawasan diraja |
Hawa Mahal | ₹50 / ₹200 / ₹5-₹25 | 9:00 am – 4:30 pm | Tingkap kecil, Tattoo Cafe |
Patrika Gate | Percuma | Sepanjang hari | Warna-warni, estetik bergambar |
Info Travel Praktikal ke Jaipur
Sebelum korang terbang ke Jaipur, pastikan korang tahu beberapa info asas yang penting untuk memudahkan perjalanan. Dari mata wang, soket elektrik, hingga tips keselamatan — semuanya kami ringkaskan dalam jadual di bawah untuk rujukan pantas dan praktikal.
Kategori | Maklumat |
💰 Mata Wang | Rupee India (INR) – 1 MYR ≈ 18–20 INR (anggaran). Tukar duit di Malaysia atau guna kad antarabangsa seperti Wise/BigPay. |
🔌 Soket & Elektrik | Soket jenis C, D, M. Voltan 230V, 50Hz. Bawa universal adaptor. (Beli Sini) |
📶 SIM Kad & Internet | Beli SIM tempatan (Jio, Airtel, Vi) – harga sekitar ₹300 (~RM18) untuk 1.5GB sehari selama 28 hari. |
🛡️ Keselamatan & Kesihatan | Guna air botol sahaja. Elakkan makanan jalanan yang tidak bersih. Simpan ubat & salinan dokumen penting. |
📱Aplikasi Berguna | Google Maps (navigasi) Ola / Uber (pengangkutan) Zomato / Swiggy (makanan) Google Translate (bahasa) |
🗓️ Waktu Terbaik Melawat | November – Februari (suhu selesa sekitar 8–22°C). Elakkan Mei – Jun (musim panas, suhu boleh cecah 45°C). |
Penerbangan Terus AirAsia Dari Malaysia ke Jaipur
Rancang percutian ke Jaipur, India kini jadi lebih mudah! AirAsia kini menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jaipur 4 kali seminggu, membolehkan korang menjelajah keindahan bandar Pink City tanpa perlu transit. Penerbangan sulung dari Jaipur ke Kuala Lumpur telah dilancarkan pada 22 April 2024. Ia menandakan permulaan sambungan udara yang lebih lancar antara kedua-dua destinasi.
Route | Flight No. | Departue | Arrival | Frequency |
KUL | JAI | AK-19 | 18:25 | 21:20 | 4 x seminggu |
JAI | KUL | AK-18 | 22:20 | 06:15 | 4 x seminggu |
Secara keseluruhan, AirAsia mengendalikan sebanyak 78 penerbangan setiap minggu dari Kuala Lumpur ke 13 bandar utama di India, termasuk Jaipur, Chennai, Trivandrum, & Kochi. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jaipur mengambil masa sekitar 5 jam 25 minit. Ia adalah pilihan cepat dan selesa untuk pelancong yang ingin menikmati pesona sejarah, budaya, dan seni bina ikonik di Rajasthan.
Untuk semakan jadual penerbangan atau tempahan tiket, korang boleh layari laman web rasmi AirAsia atau gunakan aplikasi AirAsia MOVE.
Sebagai kesimpulan, Jaipur bukan sekadar sebuah kota unik, ia adalah lambang keindahan sejarah dan warisan India yang megah. Kalau korang nak travel ke India, jangan lupa masukkan Amber Fort, Hawa Mahal dan Patrika Gate dalam itinerary korang! Tempah penerbangan korang dengan AirAsia untuk pengalaman yang lebih baik.
Artikel Berkaitan : Sungai Gangga; Sungai Paling Suci di India
Jika artikel “Lokasi Menarik di Jaipur” ini bermanfaat, jangan lupa simpan untuk rujukan percutian korang. Kongsikan juga dengan geng travel yang lain! Untuk lebih banyak tips dan destinasi menarik, follow kami di media sosial Projek Travel!
One thought on “Lokasi Menarik di Jaipur: 6 Tempat Ikonik Pink City Yang Wajib Korang Singgah!”