Filem Marvel Thunderbolts di Malaysia. Siapa sangka sebuah mercu tanda kebanggaan Malaysia kini terpahat di layar perak Marvel? Menara Merdeka 118, bangunan kedua tertinggi di dunia yang menjadi simbol kemodenan dan pencapaian kejuruteraan negara, kini mencuri tumpuan dalam filem blockbuster Thunderbolts. Dalam sejarah perfilman Hollywood, jarang sekali lokasi Asia Tenggara diangkat sebagai latar penting, apatah lagi dalam francais besar seperti Marvel Studios.
Kemunculan Menara Merdeka 118 dalam Thunderbolts bukan sekadar latar pemandangan. Ia menjadi pusat aksi mendebarkan dan meletakkan Kuala Lumpur di peta dunia sebagai lokasi penggambaran bertaraf antarabangsa.Artikel ini akan mengupas bagaimana babak ini tercipta, siapa yang terlibat, dan apakah impaknya kepada Malaysia.
Apa Itu Thunderbolts?
Thunderbolts ialah filem aksi Marvel Studios yang mengisahkan pasukan antihero Marvel, termasuk watak seperti Yelena Belova (lakonan Florence Pugh), Bucky Barnes/The Winter Soldier (Sebastian Stan), dan Red Guardian (David Harbour). Filem ini membawa naratif gelap tentang sekumpulan bekas penjahat dan ejen rahsia yang diupah kerajaan untuk menjalankan misi sulit.
Yang menarik, Kuala Lumpur dipilih sebagai salah satu lokasi penting pengambaran mereka di dalam filem ini; menjadikan Malaysia sebagai latar kepada misi penuh aksi yang mendebarkan. Filem ini telah mula ditayangkan pada 21 Mei 2025 di pawagam Malaysia
Sinopsis Thunderbolts
Filem ini bermula dengan pengarah CIA, Valentina Allegra de Fontaine, yang berdepan ancaman pemecatan akibat terlibat dalam beberapa operasi haram. Untuk menutup jejaknya, beliau menghantar Yelena Belova, John Walker, Ghost, dan Taskmaster ke sebuah fasiliti rahsia dengan alasan mereka perlu menjalankan misi penting.
Namun, sebaik tiba di sana, keempat-empat ejen itu sebenarnya terperangkap dalam pertempuran maut sesama sendiri. Ghost akhirnya membunuh Taskmaster, sementara seorang lelaki misteri bernama Bob tiba-tiba muncul tanpa sebarang amaran.
Tidak lama kemudian, mereka menyedari bahawa misi tersebut hanyalah muslihat de Fontaine untuk menyingkirkan mereka dan menghapuskan semua bukti penglibatannya dalam operasi gelap.
Dengan bantuan Bob yang mengalihkan perhatian pasukan de Fontaine dan mampu menahan serangan tanpa mengalami kecederaan, Belova, Walker, dan Ghost berjaya melarikan diri. Bob sempat terbang ke udara sebelum akhirnya jatuh semula ke fasiliti tersebut.
Di tempat lain, Alexei Shostakov (Red Guardian) yang terdengar tentang rancangan licik de Fontaine ketika bekerja sebagai pemandu bebas, datang menyelamatkan Belova, Walker, dan Ghost. Terinspirasi daripada nama pasukan bola sepak kegemaran Belova sewaktu kecil, Alexei pun menamakan kumpulan mereka sebagai “Thunderbolts”.
Namun, perjalanan mereka tidak semudah itu kerana agen-agen de Fontaine terus memburu mereka. Akhirnya, mereka berjaya ditangkap oleh Bucky Barnes (The Winter Soldier), yang berniat membawa mereka untuk memberi keterangan dalam proses pemecatan de Fontaine. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Saksikan kisah penuh Thunderbolts di pawagam berhampiran anda!
Babak Ikonik: Terjunan Dari Menara Merdeka 118
Salah satu adegan paling mendebarkan ialah ketika Yelena Belova terjun dari puncak Menara Merdeka 118, bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa. Menariknya, Florence Pugh sendiri meminta kebenaran Presiden Marvel Studios, Kevin Feige. Dia mahu melakukan aksi ini tanpa pelakon pengganti, walaupun produksi risau tentang keselamatan dan isu insurans.
Hasilnya? Adegan ini menjadi salah satu momen paling menonjol dalam filem. Bukan hanya kerana keberanian Florence, tetapi juga kerana visual Kuala Lumpur yang menakjubkan dari ketinggian.
Malaysia Sebagai Lokasi Penggambaran
Selain Menara Merdeka 118, beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur turut digunakan sebagai set penggambaran, termasuk kawasan ikonik Medan Pasar. Ini memberi pendedahan besar kepada Malaysia, memaparkan keindahan Kuala Lumpur dengan gabungan seni bina moden dan warisan sejarah.
Marvel turut mengadakan promosi khas di Kuala Lumpur dengan memancarkan logo Thunderbolts di puncak Menara Merdeka 118. Momen luar biasa ini telah dikongsikan meluas di media sosial.
Impak Kepada Industri Pelancongan & Ekonomi
Apabila lokasi-lokasi tempatan dipaparkan dalam filem antarabangsa, ia boleh menarik minat pelancong untuk datang sendiri melihat tempat-tempat ini. Fenomena ‘screen tourism’ — di mana penonton terinspirasi melancong ke lokasi filem — boleh memberikan suntikan positif kepada industri pelancongan Malaysia.
Menara Merdeka 118 kini bukan sekadar bangunan pencakar langit, tetapi juga simbol Malaysia yang berjaya menembusi skrin global.
Artikel Berkaitan : Senarai Menara di Kuala Lumpur: Fakta Seni Bina & Destinasi Pelancongan Malaysia 2025
Kesimpulannya, kemunculan Menara Merdeka 118 dalam Thunderbolts ialah pencapaian besar buat Malaysia. Ia bukan sahaja memberikan pendedahan visual, tetapi juga membuktikan negara kita mampu menembusi industri filem antarabangsa.
Kalau korang peminat Marvel, jangan lepaskan peluang menonton Thunderbolts di pawagam. Banggalah melihat Kuala Lumpur muncul megah dalam filem bertaraf dunia ini! Elak dari download filem Thunderbolts full movie online secara tidak sah.
Jangan lupa follow Projek Travel di media sosial untuk info pelancongan, budaya, dan hiburan terkini! Simpan dan kongsi artikel Filem Marvel Thunderbolts di Malaysia ini supaya lebih ramai tahu tentang pencapaian Malaysia di layar perak.