Pasar Pendekar Pasir Puteh: Suasana 80-an Dalam Kebun Getah, Tarikan Nostalgia di Kelantan

Pasar Pendekar Pasir Puteh
Kongsi Artikel ini

Bayangkan korang berjalan di celah pokok getah pada pagi Jumaat, deretan gerai tradisional di kiri kanan, aroma kuih tradisional menerpa hidung, dan celoteh peniaga dalam loghat Kelantan menyambut mesra. Inilah pengalaman yang ditawarkan di Pasar Pendekar, sebuah pasar pagi unik yang terletak di Kampung Guntong, Pasir Puteh, hanya 3.5 km dari bandar utama.

Beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu, pasar ini bukan sekadar tempat membeli lauk dan sayur; tetapi destinasi warisan tempatan yang membawa kita kembali ke zaman 70-an dan 80-an.

Lokasi Unik di Tengah Kebun Getah

Berbeza dengan pasar biasa, Pasar Pendekar dibuka di ruang terbuka dalam kebun getah, memberikan rasa klasik dan nyaman untuk para pengunjung. Bau tanah pagi, deru angin kampung, dan deretan gerai yang dibina secara tradisional menjadikan suasana di sini begitu authentic.

Ramai pengunjung, termasuk dari luar Kelantan, datang semata-mata untuk merasai suasana beli-belah desa yang kini semakin sukar ditemui. Lokasi yang unik ini juga menjadikan pasar ini popular dalam kalangan content creator dan pelancong budaya.

Beroperasi Setiap Jumaat: Lebih 10 Tahun

Ditubuhkan lebih sedekad lalu, Pasar Pendekar hanya beroperasi setiap hari Jumaat, menjadikannya antara pasar mingguan yang paling dinanti-nantikan oleh penduduk setempat. Kini dengan lebih 100 peniaga dan kawasan seluas dua hektar, pasar ini terus berkembang menjadi nadi ekonomi komuniti sekitar.

Apa Yang Ada di Sini?

Belalang Goreng, Kuih Klasik & Makanan Rare yang Sukar Ditemui

Salah satu sebab kenapa Pasar Pendekar semakin tular di media sosial adalah kerana adanya makanan rare yang jarang-jarang kita jumpa di tempat lain; antaranya belalang goreng!

Ya, belalang goreng rangup dijual secara terbuka oleh peniaga tempatan di sini. Disediakan dengan teknik tradisional, belalang ini digoreng garing dan sering dimakan bersama nasi panas atau dijadikan kudapan. Ia bukan sahaja membuka selera, malah membawa kenangan zaman dahulu bagi sesetengah pengunjung.

BACA: Belalang Goreng Kunyit di Kelantan ; Berani Cuba?

Selain belalang, antara makanan menarik lain yang boleh korang jumpa termasuk:

  • Kuih-kuih klasik Kelantan seperti akok, buah tanjung, jala emas, nekbat, dan lompat tikam
  • Lauk-pauk kampung seperti ikan pekasam, ayam kampung salai, sambal hitam, budu istimewa
  • Sayur kampung & ulam-ulaman segar, terus dari kebun
  • Ikan hiasan eksotik – sesuai untuk peminat akuarium
  • Produk kraftangan dan pakaian tradisional dengan harga sangat berpatutan

BACA : Kuih Jala Mas: Kuih Tradisional Melayu Di Pantai Timur

Warung Sarapan Pagi Ala-Ala Zaman Dahulu

Satu lagi elemen paling unik dan klasik di Pasar Pendekar Pasir Puteh ialah warung-warung sarapan pagi gaya lama yang bukan sahaja menyajikan nasik berlauk pagi, tetapi turut menampilkan cara hidangan zaman dahulu.

Di sini, korang boleh menikmati sarapan pagi sambil duduk di atas bangku kayu rendah, atau bersila di atas tikar di bawah pokok getah. Lebih menarik lagi; makanan dihidang dalam pinggan seperti badang nyiru yang dijadikan alas hidangan! Memang rare dan penuh nostalgia!

Pengalaman ini bukan sekadar makan pagi semata, tetapi membawa korang merasai semula suasana sarapan pagi di kampung zaman dulu. Tak hairanlah ramai pelancong dan food vlogger datang semata-mata untuk merasa sendiri pengalaman klasik yang hampir pupus ini.

Harga Berpatutan, Suasana Mesra

Salah satu sebab pasar ini terus mendapat tempat di hati pengunjung adalah kerana harga makanan dan barangannya sangat berpatutan. Bukan itu saja, layanan mesra peniaga dan suasana kekampungan membuatkan ramai yang sanggup datang dari luar daerah, bahkan dari luar negeri; semata-mata nak rasai pengalaman di Pasar Pendekar.

Popular di Media Sosial, Tarikan Pelancongan Kelantan

Sejak tular di media sosial, jumlah pengunjung meningkat mendadak, terutama pada cuti sekolah. Parking penuh, suasana riuh, tapi tetap mesra dan teratur. Rata-rata yang datang bukan sahaja ingin membeli, tetapi juga mahu merasai suasana dan mengambil gambar kenangan.

Penduduk tempatan pula menjadikan pasar ini sebagai tempat ‘lepak’ mingguan; sambil membeli barang dapur, dapat juga bersua dengan kenalan lama.

@projektravel

#VisitKelantan2024 Suasana Pasar Klasik, Pasar Pendekar di Pasir Puteh, Kelantan. Pasar dalam kebun getah penuh Nostalgia. Banyak kuih muih tradisional Kelantan termasuk makanan rare belalang goreng. #PasarPendekar #PasirPuteh #BelalangGoreng

♬ original sound – ProjekTravel – ProjekTravel

Waktu Operasi & Tip Melawat

  • 📍 Lokasi: Kampung Guntong, Pasir Puteh, Kelantan
  • 📅 Hari operasi: Setiap Jumaat sahaja
  • 🕗 Masa terbaik datang: Antara 7.00 pagi hingga 10.00 pagi (sebelum makanan habis!)
  • 🚗 Kemudahan parkir: Disediakan, tapi datang awal untuk elak sesak

Wajib Singgah Kalau Ke Pasir Puteh!

Pasar Pendekar bukan hanya sekadar pasar pagi, tapi ia adalah pengalaman budaya hidup yang menggambarkan cara hidup rakyat Kelantan yang sederhana, berseni dan penuh nilai tradisi. Jadi, kalau korang ke Pasir Puteh, jangan lupa singgah ke sini, walaupun sekali!

Save dan share artikel Pasar Pendekar Pasir Puteh ini kalau korang minat pasar kampung rare dan destinasi tempatan! Jangan lupa follow media sosial Projek Travel untuk lebih banyak info pasal tempat menarik di Kelantan dan seluruh Malaysia.

One thought on “Pasar Pendekar Pasir Puteh: Suasana 80-an Dalam Kebun Getah, Tarikan Nostalgia di Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *