RTSM Excursion Train Perak. Pada 7-8 September 2024, kami berpeluang menyertai sebuah trip singkat yang sangat istimewa iaitu Railway To See Malaysia (RTSM) Excursion Train edisi Promising Perak, anjuran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Inisiatif terbaru KTMB ini adalah sebahagian daripada kempen memperkenalkan industri Rail Tourism, yang sejajar dengan sambutan Tahun Melawat Perak 2024. Lebih menarik lagi, ini juga menjadi persediaan awal KTMB menuju kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Majlis pelancaran berlangsung di Stesen KL Sentral dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Korporat KTMB, Suhaimi Yaacob, serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Cik Nurmalis Musa.
Trip ini lebih bermakna kerana ia membawa 276 penumpang, termasuk media, pempengaruh digital, dan pelancong. Turut sama dalam rombongan kami adalah penyanyi terkenal Aizat Amdan, yang mempersembahkan lagu tema rasmi “Railway To See Malaysia.”
Perjalanan dan Aktiviti Menarik

Perjalanan kami bermula dari Stesen KL Sentral menuju ke Ipoh, dengan pelbagai perhentian menarik seperti Batu Gajah, Kuala Kangsar dan Taiping. Setibanya di Perak, pelbagai aktiviti disediakan untuk memeriahkan lagi pengalaman kami.
Tourism Perak telah merancang beberapa aktiviti menarik, termasuk lawatan ke Tasik Cermin, Hard Rock Cafe Ipoh, dan Concubine Lane. Kami juga sempat menjelajah Jejak Warisan Ipoh. Selain itu, kami merasai pengalaman di Lost World of Tambun Hot Springs & Spa serta Escape Ipoh, destinasi popular bagi peminat aktiviti mencabar.



Apa yang membuat perjalanan ini menjadi lebih menarik dan unik adalah penggunaan tren konvensional dengan lokomotif diesel, satu pengalaman yang sudah jarang ditemui di laluan Utara. Selain itu, tren ini juga dilengkapi dengan koc Chillax dan koc Café untuk memberikan keselesaan maksimum kepada para penumpang.
Untuk lebih keselesaan, terdapat juga koc kelas pertama dengan 36 tempat duduk berharga RM74 sehala, manakala koc kelas kedua dengan 240 tempat duduk ditawarkan pada harga RM51 sehala.
Masa Depan Rail Tourism
Tren berkonsepkan persiaran ini bukan sekadar untuk perjalanan, tetapi untuk mempromosikan industri Rail Tourism di Malaysia. Pihak KTMB yakin bahawa produk seperti RTSM dapat meningkatkan jumlah penumpang. Mereka mensasarkan kenaikan 5% atau 1.25 juta penumpang dalam setahun.
Menurut Ketua Pegawai Korporat KTMB, promosi yang efektif dan pakej menarik mampu memberikan pengalaman pelancongan berbeza. Keindahan pemandangan sepanjang perjalanan juga membantu meningkatkan ekonomi setempat.
Jika anda berminat untuk menyertai trip ini, tren RTSM ini dijadualkan beroperasi pada 7 September, 5 Oktober, 26 Oktober, dan 9 November 2024 bagi perjalanan dari KL Sentral ke Taiping, serta 8 September, 6 Oktober, 27 Oktober dan 10 November 2024 untuk perjalanan dari Taiping ke KL Sentral. Tiket boleh didapati melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), laman web KTMB, atau kios tiket di stesen.
Secara keseluruhannya, RTSM Excursion Train ini memberikan kami pengalaman pelancongan tren yang unik dan tak terlupakan. Sesuai untuk seisi keluarga dan juga mereka yang ingin menikmati keindahan Malaysia dari sudut yang berbeza. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman ini.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang rasmi ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03 – 9779 1200.
Artikel Menarik : Senarai Hotel Terbaik di Kota Bharu 2025 untuk Percutian & Bisnes
saya berminat
berminat untuk mempromosi kepada rakyat tempatan dan luar negara