Singgah Sepang Dulu 2025: Ini Senarai Tempat Menarik di Sepang Yang Ramai Tak Tahu!
Daerah Sepang di Selangor semakin menyerlah sebagai destinasi pelancongan komuniti yang kaya dengan tarikan alam semula jadi, budaya tempatan dan hospitaliti mesra pelawat. Terkenal dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), daerah ini kini giat mengembangkan sektor pelancongannya melalui pendekatan berasaskan komuniti dan agro pelancongan.
Seiring dengan aspirasi Visit Selangor 2025, Visit Malaysia 2026 dan agenda ASEAN 2025, satu inisiatif strategik telah dilaksanakan oleh Parlimen Sepang melalui penganjuran program Media FAM Trip “Pusing Selangor, Singgah Sepang Dulu”. Program ini menggabungkan 10 pencipta kandungan dan penggiat media dari seluruh Malaysia, diterajui oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Ahli Parlimen Sepang merangkap Timbalan Menteri KPKT, dalam usaha mempromosi pelancongan komuniti dan menyokong agenda Visit Selangor 2025 dan Visit Malaysia 2026.

Sepanjang tempoh 4 hari 3 malam (19–22 Jun 2025), para peserta berpeluang menjelajah pelbagai lokasi menarik di Sepang; dari hotel bertaraf 5 bintang, resort mewah atas air hingga ke agro pelancongan ladang buah naga, ladang nanas dan kampung budaya. Elemen pelancongan komuniti seperti program anak angkat, lawatan ke perusahaan kecil dan sederhana (IKS), serta aktiviti tradisional turut menambahkan nilai pengalaman pelancongan yang autentik.
Artikel ini akan menghimpunkan 12 tempat menarik di sekitar Sepang yang sempat dikunjungi sepanjang program ini. Ia bukan sahaja sesuai sebagai rujukan percutian keluarga dan trip santai hujung minggu, malah penting untuk pengkaji pelancongan tempatan yang ingin memahami naratif pembangunan pelancongan komuniti di Malaysia.
12 Tarikan Menarik di Sepang
Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA
Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA merupakan pilihan penginapan mewah yang terletak hanya beberapa minit dari KLIA. Hotel bertaraf lima bintang ini menampilkan seni bina Islamik moden yang elegan serta menawarkan bilik yang luas dan selesa, lengkap dengan kemudahan bertaraf antarabangsa.
Ia sesuai untuk pelancong transit, peserta konvensyen, mahupun keluarga yang ingin bercuti dalam suasana tenang dan eksklusif. Sarapan bufet di sini terkenal dengan kepelbagaian menu tempatan dan antarabangsa yang menyelerakan. Gabungan lokasi strategik, hospitaliti premium dan suasana tenang menjadikan Mövenpick antara hotel terbaik sekitar Sepang yang wajib anda cuba.
Restoran Hilltop Cuisine Kota Warisan
Hilltop Cuisine Kota Warisan merupakan restoran atas bukit yang menawarkan pengalaman makan malam dengan suasana tenang dengan pemandangan matahari terbenam yang Insta-whorty. Restoran ini popular dengan konsep alfresco dining serta dekorasi outdoor estetik yang sesuai untuk bergambar.
Menu utama yang menjadi tarikan ialah Shell Out Premium; gabungan pelbagai jenis seafood dimasak dengan pilihan sos butter garlic atau sambal pedas. Hilltop Cuisine juga sesuai untuk sambutan majlis istimewa seperti hari jadi atau ulang tahun, lengkap dengan servis dekorasi. Waktu operasi dari 12 tengah hari hingga 12 malam menjadikannya pilihan ideal untuk makan santai atau romantik.
Sepang International Circuit (SIC)
Sepang International Circuit (SIC) menjanjikan pengalaman luar biasa bagi pengunjung yang ingin merasai sendiri suasana di sebalik dunia perlumbaan profesional. Bukan sekadar menonton dari jauh, anda boleh melawat kawasan pit stop, podium, bilik media & garaj yang biasanya hanya dilihat di kaca TV. Sama ada untuk lawatan santai atau sesi fotografi, SIC memang antara tarikan paling ikonik untuk dilawati.
Muzium Automobil Negara
Muzium Automobil Negara merupakan destinasi menarik untuk pencinta dunia automotif. Di sini, pengunjung dapat menyaksikan koleksi kereta klasik, motosikal vintaj, serta model-model lama. Setiap kenderaan dipamerkan bersama informasi sejarah dan teknologi yang memberi perspektif menarik tentang evolusi industri automotif di Malaysia.
Suasana muzium yang tenang dan berkonsepkan galeri menjadikan pengalaman lebih mendalam dan edukatif. Ia sesuai untuk semua peringkat umur, terutamanya pelajar, pengkaji sejarah, serta peminat kenderaan retro. Bagi peminat fotografi, ruang pameran yang nostalgic dan berestetika juga sangat sesuai untuk content bergaya vintage dan throwback.
HL Dragon Fruit Eco Farm
HL Dragon Fruit Eco Farm merupakan destinasi agropelancongan interaktif & edukatif yang menampilkan ciri unik, termasuk bangunan berbentuk buah naga terbesar di dunia, mencatat rekod Guinness World Record™ pada tahun 2023 . Pelawat boleh menanam, memetik, dan meneroka ladang buah naga sambil dibimbing secara berkumpulan. Di dalam struktur ikonik itu pula terdapat mini-muzium glow in the dark; mempersembahkan paparan sejarah pertanian serta peta agro-pelancongan Sepang.
Mereka juga mempunyai restoran bertemakan buah naga pertama di Malaysia berkonsepkan Farm to Table; memperkaya pengalaman pengunjung dengan sajian unik seperti:
- Nitrogen Dragon Fruit Frappe – RM13.50
- Dragon Fruit Nasi Lemak – RM18.90
- Giant Bread – RM45 | Mini Bread – RM35
- Enzyme Chicken – dimasak dengan enzim semula jadi buah naga untuk rasa yang lebih lembut dan berjus
Lebih meyakinkan, restoran ini juga diperakui halal, menjadikannya destinasi kulinari yang sesuai dinikmati oleh semua lapisan pengunjung. Lokasi ini sesuai untuk keluarga, pelajar dan pencipta kandungan yang mahukan pengalaman agro unik serta visual Instagrammable.
Banghuris Homestay
Banghuris Homestay menjanjikan pengalaman gaya hidup kampung yang asli dan penuh nilai budaya. Di sini, pengunjung bukan sekadar melancong, tetapi turut menyertai rutin harian keluarga angkat; dari menoreh getah, memproses kopi tradisional, & banyak lagi.
Dengan pilihan pakej harian atau 2H1M, korang boleh merasai sendiri tidur di rumah kampung, makan Nasi Ambeng, & beraktiviti kampung. Lawatan ke IKS dan kilang kerepek turut disediakan. Setiap detik terasa tulen dan tidak dibuat-buat, menjadikan pengalaman ini salah satu bentuk pelancongan komuniti paling jujur dan menyentuh hati.
Restoran Terapung HM Sri Bagan
Restoran Terapung HM Sri Bagan menawarkan pengalaman makan malam tepi laut yang santai, dengan suasana restoran atas air yang terbuka & berangin. Nikmati hidangan laut segar seperti ikan bakar, sotong celup tepung, ketam masak lemak dan pelbagai menu kampung yang dimasak panas-panas.
Layanan mesra serta harga berpatutan menjadikan restoran ini antara lokasi pilihan utama penduduk tempatan dan pelancong. Sangat sesuai untuk makan malam keluarga, reunion, atau sekadar lepak santai sambil layan seafood segar.
Golden Palm Tree Malaysia
Golden Palm Tree (dahulunya AVANI Sepang Goldcoast Resort) ialah resort atas laut ikonik dengan deretan vila terapung yang membentuk rupa pohon palma. Terkenal dengan panorama matahari terbenam yang menakjubkan, resort ini menawarkan suasana tropika yang tenang dan eksklusif.
Setiap vila dilengkapi balkoni peribadi yang menghadap laut terbuka; sempurna untuk honeymoon, percutian keluarga atau escapism dari kesibukan kota. Fasiliti mewah seperti kolam infiniti, spa, restoran tepi laut dan aktiviti sukan air turut tersedia. Golden Palm Tree bukan sekadar tempat menginap, tetapi satu pengalaman percutian yang pasti meninggalkan kenangan manis.
Restoran Senandung Malam, Bagan Lalang
Restoran Senandung Malam merupakan port makan malam kegemaran ramai, terutama dalam kalangan penduduk tempatan. Terletak berhampiran pantai, restoran ini menawarkan suasana santai dan terbuka, sesuai untuk makan malam keluarga atau lepak bersama rakan.
Menu utama yang menjadi tarikan ialah pelbagai jenis seafood segar seperti ikan bakar, sotong goreng tepung, lala masak pedas & ketam masak lemak, semuanya dimasak panas-panas mengikut cita rasa pelanggan. Dengan harga yang berpatutan dan portion yang memuaskan, tak hairanlah restoran ini sentiasa penuh terutama pada waktu malam. Kalau korang cari tempat makan best di Sepang, Senandung Malam memang wajib singgah!
Sungai Sepang Besar River Cruise
Sungai Sepang Besar River Cruise membawa pelawat menyusuri laluan sungai yang menjadi sempadan antara Selangor dan Negeri Sembilan. Pengunjung berpeluang melihat kawasan bot penambang yang masih aktif digunakan oleh penduduk setempat untuk menyeberang antara dua negeri. Di sepanjang laluan, turut kelihatan pelbagai jenis rumah rakit yang boleh disewa khas untuk kaki pancing; lengkap dengan kemudahan asas & suasana damai di atas air.
Turut menarik perhatian ialah kapal arang baru yang berlabuh di kawasan muara. Ia memperlihatkan elemen industri yang wujud dalam persekitaran semula jadi. Lawatan ini turut merangkumi singgahan ke sangkar ikan. Di sini, pengunjung boleh melihat sendiri operasi penternakan ikan air payau oleh komuniti nelayan tempatan.
Saudagar Nanas Agro Farm
Saudagar Nanas Agro Farm adalah destinasi agropelancongan yang terkenal dengan keunikan ladang nanas MD2 dan kafe atas bukit yang memukau. Pelawat boleh memilih & memetik sendiri buah segar, serta melawat kilang kecil untuk menyaksikan proses pembuatan produk seperti jus, kerepek, popiah nanas dan sambal nanas .
Kafe menyediakan pelbagai hidangan kreatif berasaskan nanas; daripada nasi goreng, karipap, ais krim sehinggalah cheesecake yang berasaskan nanas, dengan pemandangan hijau ladang yang sangat Instagrammable.
Buah nanas segar MD2 turut dijual dengan harga sekitar RM6/kg. Sesuai untuk keluarga, pelajar dan pencipta kandungan, taman kecil ini menawarkan pengalaman pertanian sambil santai. Suasana santai, udara segar dan pelbagai produk nanas menjadikan pengalaman di sini sangat berbaloi untuk dikunjungi.
Baca: Percutian Dekat KL: 17 Destinasi Menarik di Sekitar Sepang yang Ramai Tak Tahu
Program Singgah Sepang Dulu menonjolkan peluasan pelancongan komuniti yang menyeluruh; bukan sekadar destinasi glamor, tetapi satu gabungan budaya, agro, sukan dan alam semula jadi. IKS tempatan mendapat manfaat langsung dari interaksi penggiat media, manakala pengunjung menikmati pengalaman autentik dan bermakna.

Dengan pelaksanaan strategi Singgah Sepang Dulu ni, Sepang bukan sahaja mampu menarik pelancong domestik dan asing, tetapi turut menyokong agenda besar seperti Visit Selangor 2025, Visit Malaysia 2026 dan ASEAN 2025. Pelancongan komuniti adalah kunci ke arah keberlanjutan ekonomi dan budaya; dan Sepang sudah pun memulakan langkah yang tepat.
Ayuh terus Singgah Sepang Dulu ; sokong komuniti, jelajah destinasi, dan buat kenangan sepanjang masa!