Resipi Ayam Ungkep merupakan salah satu hidangan tradisional yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Jawa di Malaysia, terutamanya di negeri-negeri seperti Johor, Selangor dan Negeri Sembilan. Hidangan ini dikenali dengan aroma rempah ratus yang wangi serta kuah pekat berwarna keemasan yang membangkitkan selera. Ayam ungkep bukan sekadar lauk harian, tetapi juga sering dihidangkan ketika majlis kenduri dan sambutan hari istimewa.
Apa Itu Ayam Ungkep?
Ayam ungkep ialah hidangan berasaskan ayam yang dimasak bersama pelbagai jenis rempah seperti ketumbar, jintan putih, halia, kunyit, lengkuas dan bawang. Proses memasaknya agak istimewa kerana ayam akan direbus bersama rempah sehingga empuk dan kuah menjadi pekat. Ada yang memilih untuk menggoreng ayam selepas direbus untuk menambah rasa garing di luar tetapi kekal juicy di dalam.
Bahan-bahan
Bahan Utama
- 1 kg ayam – potong sederhana besar (anggaran 10–12 ketul)
- 1 batang serai – diketuk
- 1-2 cawan air (ikut kepekatan kuah yang diingini)
- 1-2 keping asam keping
- Sedikit minyak untuk menumis
Bahan Untuk Dikisar/Ditumbuk
- Halia – kira-kira 2–3 cm
- Kunyit hidup – lebih kurang 3 cm
- Cili padi – 12 hingga 17 biji (boleh kurangkan jika kurang pedas)
- Bawang merah – 10 hingga 12 biji
- Bawang putih – 5 hingga 6 ulas
- Biji ketumbar – 1 sudu kecil
- Jintan manis – 1 sudu kecil
- Jintan putih – 1 sudu kecil
Cara Memasak
Penyediaan Utama
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis serai yang telah diketuk sehingga naik bau wangi.
- Masukkan bahan kisar dan teruskan menumis sehingga naik bau dan pecah minyak, menandakan rempah cukup masak.
- Tambahkan potongan ayam, kacau rata sehingga ayam kecut dan berubah warna.
- Tuang air sedikit demi sedikit, sambil terus dikacau agar ayam tidak melekat atau hancur. Perasakan dengan garam, gula, dan sedikit perasa pilihan mengikut citarasa.
- Masak sehingga ayam empuk dan kuah menjadi pekat. Jika lebih gemar berkuah, tidak perlu tunggu sehingga kering sepenuhnya.
- Sedia untuk dihidang! Nikmati bersama nasi putih panas dan sambal sebagai pelen
Petua & Panduan
Boleh guna serbuk ketumbar, jintan manis dan putih juga. Pastikan bahan- bahan yang dikisar ditumis sehingga betul-betul pecah minyak jika tidak cili tadi akan membuatkan anda sakit perut.
Resipi Ayam Ungkep bukan hanya menggamit kenangan zaman dahulu, malah kekal relevan sebagai juadah pilihan ramai sehingga hari ini. Kaya dengan rempah, mudah disediakan, dan pastinya membuka selera sesiapa yang mencubanya!
Artikel Berkaitan : Resipi Sup Daging Siam Paling Sedap
Kalau korang suka resipi ni, jangan lupa untuk simpan dan kongsikan artikel ini dengan keluarga dan kawan-kawan! Follow Projek Travel untuk lebih banyak resipi tradisional, tip masakan dan inspirasi dapur yang menarik.
2 thoughts on “Resipi Ayam Ungkep Asli Jawa: Rahsia Resipi Mudah, Pedas, dan Penuh Aroma!”